Biaya projek luar bandar berimpak besar kepada masyarakat-Abdul Ghani

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri wajar mempertimbang dalam perbelanjaan tambahan bagi membiayai projek-projek luar bandar yang memberi kebaikan dan impak besar kepada masyarakat luar bandar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Haji Abdul Ghani Mohd. Yassin.

Advertisements

Beliau mengambil contoh isu bekalan air bersih, kerajaan boleh meneliti untuk meneroka sistem telaga tiub (tube well) dan paip graviti yang boleh dibangunkan di kawasan luar bandar untuk menampung ketidakcukupan air dan usaha memastikan rakyat luar bandar mendapat bekalan air bersih.

“Pertanyaan saya adakah pihak kerajaan telah meneliti atau melakukan kajian mengikut kesesuaian setiap daerah dan DUN yang bertujuan untuk memperuntukkan bagi membangunkan cadangan-cadangan bekalan alternatif ini?”, katanya semasa membahas Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2024) pada Persidangan DUN Sabah pada Selasa.

Katanya, kerajaan wajar memperuntukkan sejumlah dana untuk menyelenggara dan menaiktaraf jalan-jalan perhubungan atau jalan-jalan bekas balak di kawasan pedalaman yang kini telah menjadi laluan perhubungan utama masyarakat di kampung-kampung di kawasan pedalaman.

“Buktinya, di kawasan saya sendiri apabila peruntukan pembangunan tidak dapat membiayai banyak keperluan infrastruktur asas ada segelinitir rakyat yang tidak dapat menunggu lama kerana mereka sudah bersabar sekian lama, terpaksa berkorban dan berpakat untuk sama-sama bergotong-royong membaiki jalan-jalan perhubungan seperti jambatan-jambatan yang kayu yang sudah usang dan mudah runtuh, jalan-jalan perhubungan yang tiada sistem perparitan yang teratur dan apabila musim tengkujuh jalan licin dan berlaku banjir jalan sukar untuk dilalui oleh semua jenis kenderaan.

“Melihat keadaan ini saya sangat sedih dan saya mohon agar perkara ini diteliti kembali dan diperhalusi oleh kerajaan negeri agar adanya peruntukan tambahan bagi tujuan menengani isu-isu ini”, katanya.

Menyentuh isu bekalan elektrik dan jaringan internet katanya, perkara yang sama telah disuaranya sebelum ini dan akan terus dibawa dan suarakan dalam DUN Sabah, selagi isu-isu itu belum dapat diselesaikan dengan sewajarnya.

Abdul Ghani berkata, adalah wajar pihak kerajaan untuk meneliti dan menggandakan projek-projek bekalan alternatif yang sesuai di kawasan luar bandar termasuk memperuntukkan sejumlah dana bagi membiayai projek tenaga solar atau GenSet di kampung-kampung terpencil di kawasan pedalaman yang belum mendapat bekalan elektrik.

“Begitu juga dengan jaringan keperluan asas internet yang pada pemerhatian dan pengalaman saya pada ketika ini masih banyak kawasan yang belum mendapat jaringan internet terutama kawasan perkampungan di kawasan luar bandar.

“Persoalannya, apakah status terkini projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan JENDELA kita pada landasan yang mana pada ketika ini? Adakah projek-projek ini masih rancak diteruskan atau bagaimana? “, soal beliau.

Menyentuh aspek keterjaminan makanan (Food Security) melalui bidang pertanian, penternakan dan perikanan, beliau berkata, adalah tindakan yang bijak sekiranya kerajaan memberikan peluang kepada agensi-agensi kerajaan yang berperanan dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan untuk mengembangkan dan merancakkan aktiviti-aktiviti pertanian yang bersifat skala kecil dan sedarhana seperti Projek Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET).

Katanya, projek itu yang boleh menjana pendapatan rakyat selain dapat meningkatkan hasil komoditi negeri Sabah, malah bidang ini cukup luas dan manfaatnya bukan saja rakyat luar bandar boleh menceburinya, malahan masyarakat di pinggir bandar dan bandar juga boleh diberi peluang untuk cuba meneroka AET.

Beliau mengambil contoh, pertanian Hidroponik Sayuran, penternakan madu kelulut, penternakan ikan, udang dan sebagainya.

Menurutnya, adalah tindakan yang bijak untuk pihak kerajaan memberi peluang kepada GLC’s atau Badan-Badan Berkanun yang boleh melaksana dasar-dasar pembangunan kerajaan, diberi peruntukan tambahan bagi melaksana dan mengembangkan projek-projek pembangunan yang sesuai bagi membantu rakyat jelata.

Abdul Ghani juga berharap kementerian-kementerian yang berkaitan dapat bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan untuk meneroka bidang ini, kerana ianya bukan sahaja menyumbang kepada keterjaminan makanan malah juga akan membuka peluang perniagaan kecil-kecilan dan meningkatkan pendapatan rakyat jelata.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles