Penduduk Karamunting digesa jaga sistem pembentungan di rumah masing-masing – George Hiew

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin menyeru kepada semua penduduk Karamunting menjaga sistem pembentungan di rumah masing-masing dengan tidak membuang sampah ke dalam mangkuk tandas.

Advertisements

Seruhan beliau itu adalah berikutan masalah sistem pembentungan yang tersumbat di Taman Mawar, Isnin lalu, yang mengakibatkan air kumbahan mengalir keluar di sekitar 15 rumah di taman perumahan tersebut.

Difahamkan bilik mandi dan tandas di rumah-rumah yang terkesan ini tidak dapat digunakan kerana air kumbahan akan mengalir keluar daripada mangkuk tandas.

“Masalah tersebut begitu serius sehingga rumah-rumah di taman tersebut berbau busuk. Ini amat membimbangkan kerana ia akan menjejaskan bukan sahaja kepada kehidupan seharian penduduk di sini, tetapi juga kesihatan mereka,” katanya.

Menurut George, pasukan beliau iaitu Task Force Team ADUN Karamunting telah mengambil tindakan segera untuk melaporkan masalah tersebut kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah (JPPS).

Katanya, kakitangan JPPS telah memeriksa masalah tersebut pada hari Selasa dan mendapati punca saluran kumbahan tersumbat adalah kerana sampah sarap yang tidak mudah reput seperti pakaian dan lampin pakai buang, yang dipercayai telah dibuang ke dalam mangkuk tandas.

Difahamkan kakitangan JPPS telah menyelesaikan masalah tersebut pada hari yang sama.

Kata George, sampah sarap yang menjadi punca masalah tersebut menunjukkan kurangnya kesedaran di kalangan penduduk setempat tentang pentingnya untuk menjaga sistem kumbahan di rumah masing-masing, dengan tidak membuang sampah sarap ke dalam mangkuk tandas.

“Saya telah menyoal tentang masalah pembentungan yang sering berlaku di kawasan Karamunting semasa sidang Dewan Undangan Negeri Sabah baru-baru ini.

“Menurut Pembantu Menteri Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, kebanyakan kes pembentungan yang tersumbat di daerah Sandakan adalah merupakan kes yang berulang, dan puncanya adalah kerana pembentungan tersebut sumbat dengan sampah sarap dan juga minyak grease.

“Menteri juga telah meminta agar saya sebagai wakil rakyat terus berusaha untuk meningkatkan kesedaran di kalangan penduduk setempat tentang kepentingan untuk menjaga saluran pembentungan di rumah masing-masing,” katanya.

Dalam masa itu, George berkata beliau berharap penduduk setempat akan memberi kerjasama dengan menjaga fungsi sistem saluran kumbahan dan paip, serta parit di kawasan rumah masing-masing.

Katanya, penduduk di daerah Sandakan boleh menyalurkan aduan kepada pihak JPPS melalui talian 0133195577 jika berhadapan dengan masalah sistem pembentungan yang tersumbat.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles