KOTA KINABALU: Ketua UMNO Putatan Jeffrey Nor menyifatkan coretan Tan Sri Pandikan Amin Mulia bertajuk ‘Bangau oh Bangau’ yang mempersalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu berhubung masalah yang dihadapi rakyat Sabah sekarang sebagai “melucukan”.
Sambil mengajak mengimbau sejarah politik, Jeffrey yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah berkata Tan Sri Pandikar perlu sedar bahawa beliau juga pernah berada dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) lalu yang ditunjangi oleh UMNO.
“Saya pun mahu tanya siapa yang bersalah parti atau orang yang memimpin parti.
“Beliau (Tan Sri) sendiri pernah menjawat jawatan Speaker Dewan Rakyat dalam era kerajaan BN yang lalu. Sebagai mantan speaker, Pandikar sepatutnya tahu maksud blok ‘pembangkang’ dan blok ‘kerajaan.
Jeffrey berkatq kedua-dua blok tersebut mempunyai tugas masing-masing dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi.
“Untuk membangunkan negerii ini, kritikan-kritikan yang membina sangat diperlukan bagi mencari solusi yang terbaik.
“Saya pasti Pandikar serba mengetahui bezanya ada kuasa dan tiada kuasa…mudah sahaja mengetahuinya yang berkuasa menerima kritikan membina untuk dijadikan salah satu panduan manakala yang tiada kuasa memberi kritikan terbaik untuk dijadikan input tambahan bagi membangunkan negeri kita.
“Dalam politik masa kini yang berubah setiap detik masa, kritikan dalam media sosial adalah sesuatu yang menuntut kita tabah dan sabar serta cerdik dalam menghadapi kritikan-kritikan ini,” katanya.
Jeffrey turut bertanya Pandikar sama ada
kerajaan negeri Sabah boleh dipanggil sebagai kerajaan perpaduan atau kerajaan GRS – PH sahaja.
Katanya soal sokongan di peringkat Persekutuan itu adalah satu perkara yang berbeza .
“Di peringkat negeri Sabah, rakyat tertanya-tanya sama ada kerajaan negeri sedia ada secara dasarnya menyokong kerajaan perpaduan atau sebaliknya “kerana ada Timbalan Pengerusi GRS yang menyokong Perikatan Nasional (PN”, katanya sambil merujuk kepada permainan politik dua kolam.