LAHAD DATU: Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pilihan raya negeri Sabah (PRN) yang akan datang amat penting untuk menentukan kelansungan perjuangan parti itu di negeri ini.
Oleh itu, beliau mengajak rakyat, khususnya ahli UMNO supaya mempersiapkan diri sepenuhnya sebelum memasuki gelanggang PRK ke-17.
“Persiapan kita bagi menghadapi PRN tidak boleh berhenti. Kita kena tolong menolong berdepan pilihan raya ini.
“Matlamat kita ialah memastikan UMNO kembali menjadi pilihan rakyat Sabah,” katanya.
Salleh yang juga Adun Usukan berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri UMNO bahagian Lahad Datu di Dewan SMK Terusan, dekat sini hari ini.
Beliau berkata rakyat seharusnya memilih parti yang tersusun, dan dalam hal ini, komuniti UMNO mampu menyatupadukan rakyat di negeri ini.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita kemuduan, bekas ketua menteri Sabah itu menyambut baik pengumuman Perdana Menteri yang memperuntukkan RM80 juta bagi menubuhkan Pusat Jantung Negara di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu.
“Kita alu-alukan pengumuman ini, kerana ia bukan sahaja mempermudahkan rakyat Sabah tetapi juga mengurangkan kos untuk mendapatkan rawatan khususnya yang berkaitan penyakit jatung.
“Dan kita berharap pihak kerajaan persekutuan akan melihat masalah dan kekurangan daripada segi kemudahan kesihatan di negeri ini secara holistik,” katanya.
Mengenai sambutan Hari Raya Aidifitri dan juga perayaan lain termasuk Tahun Baru Cina dan Pesta Kaamatan, Salleh berkata ia merupakan wadah terbaik untuk memperkukuhkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.