Pemergian Kurup kehilangan besar buat Sabah – KDM

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyifatkan pemergian bekas menteri yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup sebagai satu kehilangan besar buat Sabah.

Advertisements

Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata, Kurup, 80, bukan saja sangat dedikasi dalam menjalankan tugasnya sebagai menteri di peringkat persekutuan, tetapi juga konsisten dengan perjuangannya membantu rakyat di negeri ini, khususnya di pedalaman.

Katanya, Kurup juga merupakan antara pemimpin dari suku kaum Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) yang banyak berjasa kepada bangsanya.

“Pemergian beliau (Kurup) sangat mengejutkan kita semua, secara peribadi saya menyanjungi beliau, begitu banyak sekali jasanya, bukan saja kepada rakyat di negeri ini, tetapi juga seluruh negara.

“Takziah diucapkan kepada seluruh keluarga mendiang termasuk sahabat saya, Datuk Arthur Joseph Kurup, semoga mereka tabah menghadapi waktu sukar ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu bersara daripada politik pada Januari tahun lalu selepas memegang jawatan Presiden PBRS sejak penubuhan parti itu.

Beliau digantikan anaknya, Datuk Arthur Joseph, 40, yang juga Timbalan Presiden PBRS merangkap Ahli Parlimen Pensiangan.

Mendiang adalah juga ahli pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) sebelum menubuhkan PBRS, komponen Barisan Nasional (BN) pada 1994.

Ahli politik veteran itu memegang beberapa jawatan menteri sepanjang karier politiknya selama lebih empat dekad.

Beliau adalah Timbalan Ketua Menteri Sabah antara 1986 dan 1990 dan sekali lagi dari 1994 hingga 1999.

Jawatan terakhirnya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional) antara 2013 hingga 2018. Beliau tidak mempertahankan kerusi Pensiangan pada PRU 2018, untuk memberi laluan kepada Arthur.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles