PAPAR: Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin hari ini menziarahi keluarga wartawan Bernama
Allahyarhamah Nur Adika Bujang di Kampung Somboi, Kinarut, dekat sini hari ini.
Nur-ul Afida bersama pengurusan Bernama meluangkan masa lebih 30 minit berbual dengan ibu kepada Allahyarhamah Nur Adika iaitu Nafsiah Bubin, 69, sambil menzahirkan ucapan takziah dan menyampaikan bayaran pampasan insurans, gantian cuti rehat serta sebahagian gaji Allahyarhamah.
Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Pengurus Sumber Manusia Bernama Marzukhi Md Saleh, Ketua Biro Bernama Sabah Fadzli Ramli dan bekas Ketua Biro Bernama Sabah Newmond Tibin.
Bercakap kepada Bernama selepas itu, Nur-ul Afida berkata pihak pengurusan Bernama akan membantu keluarga Allahyarhamah dalam menguruskan pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Alhamdulillah. Kami dapat datang ke kampung Allahyarhamah dan bertemu dengan keluarganya dan menyampaikan bantuan dana bayaran yang sepatutnya diserahkan. Secara peribadi, saya pernah bertugas bersama Allahyarhamah. Saya mengenali Nur Adika sebagai seorang wartawan yang rajin dan berdedikasi,” katanya.
Nur-ul Afida turut mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana melakukan penerbangan ihsan bagi membawa pulang jenazah Allahyarhamah Nur Adika dari Sandakan ke Kota Kinabalu.
“Terima kasih kepada PDRM kerana membantu melancarkan proses penghantaran jenazah dan ia sangat kami hargai kerana membantu keluarga untuk melancarkan proses pengebumian Allahyarhamah,” katanya.
Sementara itu, Nafsiah mengucapkan terima kasih atas kehadiran pihak pengurusan Bernama bagi menziarahi keluarga Allahyarhamah Nur Adika.
Nafsiah, yang juga bekas penerbit dan penyampai radio RTM Sabah berkata Bernama memiliki petugas yang mempunyai sifat setiakawan sangat tinggi dan banyak membantu dalam menguruskan jenazah Allahyarhamah Nur Adika.
Pada 17 Mac lepas, Nur Adika ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tingkat dua kediamannya di Taman Perumahan IJM, Batu 6, Sandakan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian
Kesihatan.
Nur Adika, 45, telah berkhidmat dengan Bernama sebagai wartawan hampir 20 tahun sejak 31 Okt 2005 dan pada 1 Jan 2019 beliau dilantik sebagai Pewarta Sandakan.
- BERNAMA