Pelaksanaan MA63 keutamaan kerajaan di bawah PMX

KUALA LUMPUR: Isu-isu berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan antara agenda yang diberikan penekanan utama Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Kesepuluh, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk diselesaikan dengan segera.

Advertisements

Menurut Jabatan Perdana Menteri dalam satu jawapan bertulis di Persidangan Dewan Rakyat di sini, pada Selasa, Kerajaan Persekutuan terus komited dalam memastikan perkara-perkara yang termaktub dalam MA63 diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan kerangka undang-undang sedia ada.

“Platform perundingan mengenai MA63 telah ditambah baik oleh Kerajaan Persekutuan dengan menubuhkan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri.

“Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 (JKMTPMA63) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri telah turut ditubuhkan,” jelas kenyataan itu.

Jawapan bertulis tersebut sebagai maklum balas terhadap Soalan Lisan Ahli Parlimen, Datuk Seri Panglima Madius Tangau (UPKO – Tuaran) yang meminta perdana menteri menyatakan sejauh manakah kejayaan Kerajaan Madani dalam melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 terutama yang terkait dengan Perlembagaan Persekutuan dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Menurut JPM, Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Anwar telah berjaya menyelesaikan enam tuntutan asas MA63.

“Ia termasuklah pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sabah dan Negeri Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182); Pindaan Akta LHDN 1995 bagi melantik Wakil Kerajaan Negeri Sabah Dan Sarawak Sebagai Anggota Tetap Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“Selain itu, kuasa kawal selia bekalan gas juga telah diserahkan kepada Negeri Sabah; Pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak; serta penyediaan Garis Panduan Penyerahan Semula Tanah Direzabkan bagi maksud Persekutuan di Negeri Sabah dan Negeri Sarawak.

“Kerajaan Persekutuan juga telah menyerahkan Kuasa Kawal Selia Elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah.

“Penyelesaian interim juga telah dilaksanakan terhadap satu perkara/tuntutan asas iaitu berkaitan Kajian Semula Pemberian Khas bagi Negeri Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D (RM300 juta),” ujar JPM.

Dalam pada itu, jabatan berkenaan turut memaklumkan bahawa perkara/tuntutan asas MA63 yang lain masih dalam peringkat perbincangan, dan kementerian serta agensi yang terlibat sedang melaksanakan rundingan bersama Kerajaan Sabah dan Sarawak bagi memperincikan pelaksanaannya.

“Tempoh masa bagi penyelesaian setiap perkara/tuntutan adalah tertakluk kepada proses perundangan yang berkaitan.

“Isu-isu yang dibincangkan melibatkan perundangan yang kompleks dan memerlukan penelitian terperinci daripada pelbagai aspek.

“Selain itu, tahap kesediaan Sabah dan Sarawak dari sudut operasi, sumber manusia, kewangan juga merupakan aspek yang perlu diambil kira sebelum suatu perkara/tuntutan asas MA63 dapat diselesaikan,” jelas JPM.

Perkara/tuntutan asas yang belum diselesaikan akan dipantau dan disusuli oleh Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) JPM selaku Sekretariat kepada MTPMA63 dan Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63.

“BHESS berperanan memantau pelaksanaan dan menyelaras tindakan berhubung sesuatu isu atau keputusan sama ada di peringkat kementerian/agensi Persekutuan, mahupun di peringkat agensi Kerajaan Sabah dan Sarawak,” tambah jabatan itu lagi.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles