KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sekitar RM210.15 juta bagi membina tujuh projek jalan dan jambatan luar bandar bagi kawasan Parlimen Tuaran.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata secara keseluruhan, terdapat 136 projek jambatan telah diluluskan untuk dibina dan dinaiktaraf di Sabah pada tahun ini.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak termasuk wakil rakyat di peringkat negeri supaya memastikan mana-mana permohonan jambatan gantung yang kritikal dan perlu dinaik taraf sebagai jambatan konkrit dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah sebelum diangkat ke Kementerian Ekonomi untuk kelulusan.
“Ini bagi memastikan tiada projek-projek jambatan yang kritikal dan berkeperluan mendesak terlepas daripada permohonan kementerian kepada kementerian ekonomi pada masa akan datang,” katanya.
Zahidi berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan anggota Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.
Sebelum itu, Madius inggi tahu jumlah jambatan gantung di seluruh negara mengikut negeri dan sama ada kementerian itu bercadang menaik taraf jambatan-jambatan gantung yang usang dan merbahaya terutama yang menjadi laluan utama murid-murid ke sekolah, khususnya di kawasan pedalaman Sabah.