KOTA KINABALU : Kenyataan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Moyog Cesar Mandela Malakun berkaitan penjelasan isu Loji Rawatan Air (LRA) di Sabah menghampiri usia dua dekad dilihat tidak mampu memberi keyakinan kepada rakyat di Sabah.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Nor Mohamed berkata, kenyataan Mandela juga tidak banyak memberi keyakinan kepada rakyat yang sedang menghadapi masalah air sangat kritikal di seluruh negeri ini.
Katanya, apa yang mereka boleh lakukan adalah menyelesaikan segera kerja-kerja untuk mengatasi masalah infrastruktur di Sabah sekali gus menerima hakikat keadaan berlaku ini adalah sebahagian besar kesan daripada kepimpinan lama.
“Mandela seperti bersetuju dengan kenyataan saya beberapa hari lalu…Bahawa Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) tidak mempunyai keupayaan untuk menyelesaikan masalah air di Sabah akibat berikutan wujudnya masalah urus tadbir yang tidak cekap dan kurang berintegriti.
“Adakah saudara Mandela bersetuju bahawa? Bukannya ‘Menteri’ yang bertanggungjawab kurang kompeten tetapi pegawai-pegawai JANS yang kelihatan kurang kompeten? katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jeffrey Nor merupakan Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata, beliau (Mandela) juga bersetuju masalah ini berlarutan lebih 20 tahun dan mereka yang memegang kuasa dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekarang dalam Barisan Nasional (BN) juga merupakan punca utamanya.
“Jadi adakah Mandela bersetuju masalah ini berlaku adalah kesan dari kepimpinan mereka yang terdahlu, sila jelaskan segera?.
“Notis catuan bekalan air ini merupakan permakluman rasmi JANS sekali gus telah dipersetujui berkaitan keputusannya sebelum disiarkan setelah semuanya diambil kira,” jelas Jeffrey Nor.
Menurutnya, bermaksud ia bukan satu perkara yang boleh dibuat secara sesuka hati atau seperti ‘dipermain-mainkan’ serta disorong tarik sehingga menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan sedia ada.
“Untuk makluman Mandela, Projek Skim Bekalan Air Segera (UWSS) di Loji Rawatan Air Telibong I dan II sudah tiga kali diumumkan sehingga kini masih belum mampu disiapkan.
“Kita mahu tahu juga siapa yang buat projek ini sampai sekarang masih belum boleh digunakan meskipun kerajaan demi kerajaan bersilih ganti,” tambah Jeffrey Nor.
Jeffrey Nor menambah, beliau juga ingin bertanya adakah tiada hubungan komunikasi diantara JETAMA Sdn Bhd dengan JANS dalam perkara ini.
“Jadi mengapa salahkan rakyat sehingga menjadi ‘kelam kabut’ dengan notis catuan ini, sekiranya teratur serta sahih barulah dikeluarkan agar rakyat tidak keliru lebih-lebih lagi menjelang musim bulan ramadan,” katanya.