SANDAKAN : Jelajah Akar Umbi (GERAK 17) Kepimpinan Tertinggi UMNO Sabah yang diketuai oleh Ketua Umno Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin untuk tahun 2024 membuka tirainya pada Khamis dengan menjadikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telupid dan DUN Labuk di Beluran sebagai lokasi pertama program tersebut diadakan.
GERAK 17 itu bermula di kawasan Zon lima yang mana selain dua lokasi ini, program itu juga akan diteruskan ke kawasan DUN Sekong,DUN Sungai Manila dan DUN Sungai Sibuga dan di semua bahagian UMNO mengikut zon yang telah ditetapkan.
Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah ketika ditemui berkata program itu bertujuan menemui pemimpin dan ahli peringkat akar umbi bagi memberikan perkongsian mengenai perkembangan politik semasa, selain meninjau persediaan jentera parti di peringkat bahagian bagi menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.
“Alhamdulillah semangat serta momentum ahli di peringkat akar umbi masih kukuh, kehadiran ahli yang diluar jangkaan membayangkan kesetiaan serta prinsip mereka untuk terus berjuang bersama UMNO, walaupun program yang kita aturkan tidak menyediakan apa-apa kemudahan mereka hadir dengan hati yang suka rela,” katanya ketika ditemui selepas program ini di Telupid.
Menurut Bung GERAK 17 dilaksanakan atas keinginan melihat UMNO dominan semula dan gagah untuk menghadapi PRN akan datang
“Kalau semangat ini dapat diletakkan semula, insya-Allah, saya yakin bahawa UMNO akan berada kembali di persada politik untuk mengambil alih pemerintahan yang ada ketika ini,” katanya
Dalam ucapannya, Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyeru kepada seluruh ahli UMNO agar bangkit membina kekuatan parti dengan menggunakan segala kekuatan jentera yang ada.
Katanya, selain politik pembangunan dan politik khidmat, UMNO juga perlu tangkas dalam politik isu dan sentimen yang sering dimainkan di media sosial serta perlu menangkis setiap serangan yang dihala ke arah parti.
“Kita sedang berhadapan dengan serangan pihak lawan dengan menggunakan media sosial untuk menabur fitnah, memperlekehkan perjuangan kita yang perlu kita lawan demi mempertahankan imej serta kekuatan UMNO daripada diperlekehkan,” katanya.
Menurut Bung melalui jelajah GERAK 17 iiti, diharapkan suntikan motivasi dan tiupan semangat untuk membangkitkan roh perjuangan UMNO dikalangan ahli dapat dipulihkan dan ini perlu disertai dengan stiqamah setiap ahli yang bukan sahaja memahami aspirasi perjuangan UMNO malah mampu menterjemahkannya dalam bentuk tindakan untuk bersama kepimpinan memperkuatkan parti..
“Jika kita mahu menang lakukan kerja cara nak menang kita satukan pemikiran, satukan tindakan dan satukan hati. Barulah ukhwah sesama ahli diperkukuhkan dan rangkaian yang lebih meluas dapat diwujudkan untuk menarik lebih sokongan.”
“Semangat kekitaan dan sepasukan merupakan ramuan penting untuk kita perhebatkan UMNO agar kembali kuat dan dapat menarik keyakinan rakyat,” katanya.