SEMPORNA: Sebagai pemimpin anggota Puteri Umno perlu melengkapkan diri dengan pelbagai bidang ilmu bukan sahaja berkaitan bidang kepimpinan tetapi juga nilai tambah kepada diri sendiri.
Ketua Pergerakan Puteri Umno bahagian Semporna Sabriah Haji Abdul San berkata, bagi mendepani era dunia tanpa sempadan, seiring dengan cabaran revolusi industri keempat ternyata teknik komunikasi menjadi satu kewajipan untuk dikuasai oleh anggota pergerakan Puteri Umno.
Menurut beliau bagi menyahut dasar serta perjuangan parti Umno, anggota puteri perlu menyumbang kepada masyarakat dalam penyebaran maklumat yang berkesan dan ianya hanya dapat terlaksana sekiranya anggota puteri mampu menguasai teknik komunikasi dengan ampuh dan berkesan.
“Satu daripada kemahiran komuniaski yang perlu dikuasai oleh anggota puteri ialah kemahiran berucap di khalayak ramai atau pengucapan awam yang berkesan untuk disampaikan kepada Masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas perasmian kursus Pengucapan Awam bertempat di Dewan Zee Boutique dekat sini baru-baru ini.
Kursus tersebut dianjurkan oleh Pergerakan Puteri Umno bahagian Semporna dengan Kerjasama dari Akademik Minda Malaysia (AMAL) yang diketuai oleh bekas Setiausaha Umno bahagian Semporan Haji Mohd Syam Haji Mohd Muksan.
Majlis perasmian kursus itu disempurnakan Ketua Pergerakan Puteri Umno Sabah Ummi Nabilah Datuk Jamal.
Menurut Sabriah lagi pengucapan awam penting terutama dari segi penyebaran maklumat, membimbing, pengajaran dan untuk mempengaruhi orang lain.
“Sebagai pemimpin barisan hadapan yang berhadapan dengan rakyat, penguasaan pengucapan awam yang berkesan perlu ada pada anggota puteri, justeru melalui kursus ini diharapkan dapat membantu peserta (ahli puteri) mempelajari teknik pengucapan awam yang berkesan,” tambah Sabriah.
Sementara itu, berucap merasmikan kursus tersebut Ummi Nabilah yang juga Ketua Puteru Umno bahagian Papar berharap peserta yang menyertai kursus tersebut akan memanafaatkan pengalaman yang diperolehi untuk digunakan pakai bagi menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) akan datang.
Katanya, Anggota Puteri perlulah menguasai aspek kemahiran pengucapan awam bagi menggalakkan medan intelektual terbuka yang lebih berkesan bersama Masyarakat umum.
“Persediaan yang cukup terutama berhubung dengan dasar dan perjuangan parti mengenal pasti isu-isu semasa bukan sahaja meningkatkan keberkesanan maklumat ingin disampaikan sekali gus meningkatkan imej diri dan organisasi yang diwakil,” katanya.