KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick melancarkan portal baharu Perusahaan Sosial yang akan menjadi pusat sehenti bagi rujukan maklumat terkini mengenai perusahan sosial di Malaysia.
Ewon berkata, melalui portal baharu itu, perusahaan sosial boleh memohon tiga tahap penarafan perusahaan sosial sama ada di tahap permulaan iaitu Tunas Perusahaan Sosial dan tahap pertengahan Perusahaan Sosial Asas atau tahap Perusahaan Sosial Diakreditasi.
“Selain itu, senarai perusahaan sosial yang telah diberi penarafan oleh KUSKOP boleh diakses melalui direktori portal ini.
“Orang ramai boleh mencari maklumat perusahaan sosial dan barangan atau produk yang ditawarkan melalui pautan di dalam direktori ini.
“Perusahaan sosial yang ingin mengetahui mengenai insentif dan program yang ditawarkan kepada mereka, boleh melayari portal baharu perusahaan sosial ini di samping lain-lain informasi berkaitan perusahaan sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Amanat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) 2024, di Dewan Menara Bank Rakyat, di sini, pada selasa.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Haji Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan pemantauan) KUSKOP Noor Afifah Abdul Razak dan ketua-ketua agensi kementerian.
Dari segi pencapaian KUSKOP pada tahun 2023, Ewon berkata, secara keseluruhanya kementerian berjaya melaksanakan 187 program yang memberi manfaat kepada seramai 782,522 usahawan, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), koperasi, perusahaan sosial, start-up, usahawan informal serta belia dan graduan.
“Berdasarkan tema Pelan Strategik KUSKOP Tahun 2023 iaitu “Berdaya Maju, TransformatiF dan ResponsiF” (BFF), kita berjaya menjadi “BFF” kepada usahawan dan koperasi,” katanya.
Beliau berkata, antara pencapaian KUSKOP dan Agensi sepanjang tahun lalu ialah melancarkan satu dasar dan dua pelan tindakan keusahawanan untuk pelaksanaan iaitu Dasar Koperasi Malaysia 2030, Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil 2023-2027 dan Pelan Pemformalan Usahawan Informal.
“KUSKOP juga telah memperkenalkan satu kategori penarafan perusahaan sosial (SE) yang baharu iaitu Tunas Perusahaan Sosial atau Aspiring SE.
Katanya, penarafan ini dibuat secara kaedah penyataan kendiri atau self-declared bagi menggalakkan lebih banyak organisasi menjadi perusahaan sosial mendaftar dengan KUSKOP seterusnya melahirkan lebih banyak Perusahaan Sosial seperti yang dihasratkan di bawah Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030).
“Daripada aspek pembangunan kapasiti dan keupayaan, seramai 51,033 usahawan dan koperasi menjalani program pemantapan kapasiti serta mendapat fasilitasi dan sokongan keusahawanan yang diperlukan.
“Selain itu, 331,025 individu mendapat pendedahan dan pembudayaan keusahawanan, di mana 95,255 daripadanya telah berjaya bergelar usahawan baharu yang mendaftar perniagaan,” katanya.
Ewon berkata, mengenai aspek peningkatan akses pembiayaan pula, seramai 326,150 usahawan dan koperasi mendapat bantuan pembiayaan termasuk pembiayaan mikro-kredit, geran keusahawanan, pinjaman mudah dan pembiayaan alternatif.
“Daripada aspek perluasan akses pasaran, seramai 4,303 usahawan dan koperasi mendapat akses pasaran merangkumi premis dan ruang perniagaan serta peluang menembusi pasaran domestik dan antarabangsa, manakala 7,041 usahawan dan koperasi telah memperkukuh perniagaan melalui adaptasi teknologi dan penggunaan platform e-dagang,” katanya.
Ewon berkata, KUSKOP juga menerima Anugerah Prestasi Pembangunan Terbaik Tahun 2023 daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2023 daripada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).