KOTA KINABALU : Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Nor menyatakan parti itu belum mengambil sebarang keputusan rasmi mengenai gabungan diantara UMNO Sabah dengan Parti Warisan Sabah.
Ia sekaligus menafikan kenyataan dikeluarkan oleh Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar baru-baru ini mengenai wujudnya gabungan diantara dua parti itu.
Menerusi kenyataan Zulkarnain itu juga, beliau menggesa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin untuk berundur susulan gabungan dua parti terlibat.
“Pertama, belum ada keputusan rasmi mengenai gabungan ini. Kedua, kuasa menggugurkan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah adalah kuasa prerogatif Presiden Parti dan bukannya siapa-siapa.
“Ketiga, kesetiaan Datuk Bung Moktar kepada UMNO Sabah tiada tolok bandingannya. Beliau bertahan ketika kalah dalam Pilihan Raya Umum 2018 yang lalu meskipun pada masa itu ada pemimpin yang melompat, mengisi borang parti lain dan ada yang berdiam diri.
“Tetapi ini semua bukan pada Datuk Bung Moktar Jasanya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana individu. Oleh itu, sesuailah sekiranya beliau memimpin kami,” katanya.
Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, sebarang keputusan termasuk sekiranya mahu bergabung dengan mana-mana parti adalah di atas dasar survival parti dan bukannya untuk mana-mana individu.
Jelasnya, sudah tentu parti itu akan memperhalusi mana-mana kerjasama yang boleh membawa lebih manfaat kepada UMNO Sabah dan bukannya memudaratkan.
“Saya ingin bertanya sekiranya Datuk Zulkarnain masih ahli UMNO atau tidak?. Sekiranya bukan ahli, biarlah kami yang urus parti ini. Tidak mungkin pemimpin kami mahu melihat UMNO Sabah terkubur satu hari ini. Apa juga keputusan yang diambil semuanya untuk kebaikan parti kami.
“Jangan hanya memberi kenyataan melalui apa yang dilihat dan didengar dari mana-mana sumber yang belum sahih. Dunia politik Sabah cukup dinamik, keperluan untuk memastikan kelangsungan parti amatlah dititikberatkan,” jelas Jeffery.