Transisi Majlis Daerah Penampang ke Majlis Perbandaran bermula

PENAMPANG: Majlis Daerah Penampang bakal dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran.

Advertisements

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam melancarkan acara kiraan detik (countdown) iaitu simbolik transisi Majlis Daerah Penampang kepada Majlis Perbandaran Penampang di perkarangan Bangunan Wisma Majlis Daerah Penampang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, tempoh transisi ke arah Majlis Perbandaran adalah penting bagi memastikan urusan-urusan perubahan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan sepenuhnya, sesuai dengan penaiktarafan nanti.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Francis Chong sebagai Pengerusi Majlis Daerah Penampang dan Pegawai Eksekutif, Robert Malangkig atas kejayaan memimpin pasukan Majlis Daerah Penampang sehingga berjaya mendapatkan kelulusan untuk dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran Penampang.

Selaras dengan pengiktirafan yang bakal diberikan nanti, Dr. Joachim berharap warga Majlis Daerah Penampang melaksanakan tadbir urus yang cekap dan berintegriti tinggi; efisyen dan efektif dalam melaksanakan penugasan-penugasan yang diberikan; mengambil pendekatan mendigitalisasikan proses-proses penyampaian perkhidmatan bagi memudahkan urusan pemegang taruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); mengambil pendekatan mensejahterakan perkhidmatan dengan membangunkan ekonomi dan mencari sumber-sumber hasil baharu PBT; dan melaksanakan pengurusan kewangan yang mampan.

“Faktor-faktor ini amat penting bagi memacu pembangunan sesebuah PBT,” tegasnya.

Beliau berkata, PBT merupakan satu entiti kerajaan ketiga yang begitu penting kerana PBT memberikan perkhidmatan terus kepada masyarakat.

“Tidak dinafikan bahawa tugas menguruskan sebuah PBT merupakan satu tugas yang mencabar, terutamanya sebuah daerah yang aktif seperti Penampang.

“Bagaimanapun, bagi menjadi sebuah PBT yang mampan dan progresif, kakitangan PBT perlulah mengambil anjakan paradigma dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Dr. Joachim berkata, penjawat awam pada masa kini hendaklah sentiasa bersedia untuk berevolusi sesuai dengan peredaran dan kehendak pemegang taruh, sambil menambah, sebarang keputusan atau dasar yang dilaksanakan perlulah mendapatkan maklum balas menyeluruh dengan penglibatan pemimpin-pemimpin masyarakat.

“Ahli-ahli Majlis yang dilantik merupakan wakil kepada masyarakat daerah Penampang, tuan-tuan dan puan-puan memainkan peranan yang penting, bukan sahaja dalam penyampaian maklumat daripada masyarakat tetapi juga mewakili PBT dalam memberikan pencerahan dan makluman dalam apa jua tindakan dan dasar yang dilaksanakan oleh PBT,” ujarnya.

Dr. Joachim berharap agar Chong dan Robert, dengan kerjasama dan bantuan Ahli-ahli Majlis, Pemimpin-pemimpin Masyarakat dan warga kerja Majlis Daerah Penampang, dapat memimpin Majlis Daerah Penampang ke arah Majlis Perbandaran Penampang dengan jayanya.

Antara yang hadir ialah Pembantu Menteri I, Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.25 Kapayan, Puan Jannie Lasimbang; Setiausaha Tetap, Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Jamili Nais; Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Norlijah Hj Danin; Ahli – ahli Dewan Negara, Senator Datuk John Ambrose dan Senator Datuk Noraini Idris.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles