Badan NGO diminta main peranan bantu kebajikan rumah anak-anak yatim

KUDAT: Badan bukan kerajaan (NGO), persatuan, pertubuhan dan parti politik diminta memainkan peranan membantu rumah anak-anak yatim dan kebajikan bagi merealisasikan konsep masyarakat penyayang.

Advertisements

Ketua Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Hajah Siti Aminah Aching berkata, usaha itu dapat membantu memberikan sokongan kepada kerajaan dalam membantu golongan sasar yang memerlukan.

“Kita tidak menafikan saban tahun kerajaan turut menyalurkan dana bantuan kepada rumah-rumah Kebajikan termasuk Rumah Anak Yatim, bagaimana pun sudah tentu ianya tidak mencukupi untuk pengurusan rumah-rumah kebajikan di seluruh negeri ini dengan cabaran kenaikan kos sara hidup,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai program Jelajah Wanita Usia melawat rumah anak yatim Bahiitul Hidayah dekat sini kemarin.

Turut hadir Ketua Usia bahagian Kudat OKK Jasni Eser, Timbalan Ketua Usia Kudat OKK Aliasgar Alibasa Ketua Wanita Usia Kudat Hajah Jorpah Haji Mustapha dan Setiausaha dan Pengurus Rumah Anak-Anak Yatim Baithul Hidayah Kudat Awang Lahaji Rokimin

Menurut Siti Aminah yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, kerajaan bertanggungjawab untuk mencapai keterangkuman sosial bagi mengintegrasikan golongan kurang bernasib baik termasuk anak-anak yatim orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan masyarakat terpinggir bagi memastikan mereka lebih produktif.

Siti Amina berkata tidak dinafikan, ada sesetengah perkara dalam masyarakat tidak boleh dan tidak mampu ditangani kerajaan secara bersendirian. Di samping perlu menghadapi isu makro seperti masalah pendidikan, peluang pekerjaan, pembasmian kemiskinan, peningkatan kualiti penjagaan dan sebagainya , kerajaan juga perlu memikirkan formula membantu kebajikan anak-anak yatim piatu, warga tua tersisih, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan sebagainya.

“Maka, di sinilah pentingnya peranan NGO, individu dan masyarakat untuk menjadi rakan kongsi aktif pembangunan dengan berganding bahu menyumbangkan idea, tenaga atau wang atas semangat kemasyarakatan. Yang lebih penting, atas rasa ihsan, kasih sayang dan nilai kemanusiaan,” katanya

Tambah beliau sifat kasih sayang dan penyayang amat dituntut dalam setiap agama khususnya Islam. Melalui kasih sayang dan penyayang, hubungan manusia akan lebih kukuh dan bahagia kerana ia menyatukan mereka ketika susah dan senang.

“Lebih penting, sifat penyayang dan kasih sayang ini akan membantu Malaysia menjadi negara maju secara holistik sejajar gagasan Malaysia Madani iaitu mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya penyayang,” katanya

Dalam perkembangan lain, Siti Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort juga turut meminta Wanita Usia di seluruh bahagian agar terus aktif menganjurkan program-program keagamaan khususnya mendekati dan membimbing saudara baru.

“Banyak program kitab oleh anjurkan untuk mendekati golongan ini seperti menganjurkan kursus fardu ain atau fardu kiyafah dan program program yang boleh meningkatkan ilmu serta kefahaman mereka tentang Islam,” katanya.

Di majlis tersebut Aminah juga turut menyampaikan sumbangan kepada Rumah Anak-Anak Yatim Baithul Hidayah dan anak-anak yatim yang tinggal di rumah tersebut.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles