KOTA KINABALU: Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah menyambut baik pelantikan Datuk Armizan Mohd. Ali sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang baharu.
Sambil menyifatkan pelantikan itu sebagai wajar dan tepat pada masanya, presidennya David Chan berkata ia merupakan pilihan terbaik memandangkan Sabah sentiasa berdepan masalah kos sara hidup yang tinggi.
Beliau berharap Armizan dapat melakukan sesuatu untuk mengkaji pelbagai faktor yang menyebabkan kos sara hidup tinggi di Sabah berbanding di Sarawak meskipun kedua dua negeri terletak di pulau yang sama iaitu pulau Borneo.
Awal hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan kabinet yang menyaksikan Armizan dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Armizan bertukar portfolio daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak serta Tugas-Tugas Khas) kepada Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Menurut David, makakan ruji di Sarawak sentiasa jauh lebih murah daripada Sabah.
“Harga makanan sentiasa naik, tetapi mereka mengatakan gaji tidak pernah naik yang menyebabkan beban kepada B40,. Selain itu, skala gaji di Sabah juga sentiasa lebih rendah daripada semenanjung.
“Oleh itu, kami berharap kerajaan akan membawa perubahan yang lebih besar terutama mengurangkan kos sara hidup Sabah,” katanya.