KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, isu-isu besar berkaitan kepentingan rakyat Sabah memerlukan solusi dan cadangan yang praktikal, bukan setakat kritikan.
Sehubungan itu beliau memuji usaha Pergerakan Pemuda parti itu yang berjaya mengadakan Retreat Pemuda “Pemuda Pemangkin Aspirasi Rakyat” untuk membincangkan isu-isu rakyat.
“Retreat ini penting bagi “menjiwai”isu-isu besar. Selain UPKO dikenali sebagai parti yang tegas bertempat, kita juga mesti dilihat berupaya menawarkan solusi kepada banyak perkara.
“Parti kita juga dikenali sebagai parti yang ada ketegasannya, ketagasan itu harus ada tempatnya dan perlu ada hasil dan kesannya.
“Oleh itu, saya melihat ketegasan yang ditunjukkan rakan-rakan Pergerakan Pemuda. Saya amat berharap semangat ini akan terus kekal bukan hanya sehingga pilihan raya negeri ke-17 (PRN-17) tetapi selagi parti kita wujud, semangat itu perlu ditanam, dipelihara dan diwariskan kepada pemuda-pemuda lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Retreat Pemuda UPKO 2023 yang dihadiri perwakilan Pemuda dari kesemua Bahagian UPKO seluruh Sabah, di Hotel Tang Dynasty, pada Sabtu lalu.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, antara pengisian retreat dua hari itu ialah membincangkan isu-isu termasuk memperkasa hala tuju parti – Strategi dan Pelan Tindakan Menghadapi PRN-17, isu kos sara hidup dalam ekonomi alaf baru dan tuntutan Perjanjian Malaysia (MA63)- persempadanan semula kawasan Parlimen.
“Sudah tentu isu-isu ini sangat besar dan memerlukan solusinya, maka saya yakin selepas dua hari Pemuda berupaya menawarkan sesuatu kepada Ahli Majlis Tertinggi dan Presiden untuk dijadikan sebagai input dalam meja perundingan di peringkat kabinet, melibatkan kerajaan atau rakan-rakan parti yang lain,” katanya.
Dari segi kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat Ewon berkata, adalah lebih baik ahli-ahli parti itu membantu mencari solusi bagaimana mengatasi masalah itu daripada hanya meluahkan ketidakpuasan hati dan mempersalahkan kerajaan.
“Di Sabah terdapat lapan daerah dikategorikan sebagai miskin kerana mempunyai daftar e-Kasih yang tinggi. Dalam daftar e-Kasih, aset tanah tidak jadikan faktor untuk menentukan satu-satu isi rumah itu termasuk dalam e-Kasih.
“Maka saya telah mengatakan, kenapa tidak laksanakan program pembangunan jangka masa panjang untuk daftar e-Kasih yang mempunyai tanah untuk diusahakan.
“Sementara kita mengkritik atau memberi pandangan kritis kepada kerajaan terkait bekalan makanan dalam negara, UPKO melalui Pergerakan Pemuda, Wanita atau Generasi Muda mesti berupaya menawarkan solusinya, misalnya penubuhan koperasi,” katanya.
Ewon berkata, banyak pihak lebih cenderung memberikan kritikan terhadap sesuatu isu tetapi agak kurang yang menyatakan cadangan praktikal untuk mengatasi masalah itu.
“Cadangan penyelesaian ini harus menjadi wajah baru Upko. Oleh itu, setiap kali kita memperkatakan sesuatu perkara, maka parti kita mesti berupaya menawarkan solusinya supaya rakyat melihat parti ini ada tempatnya pada mereka,” katanya.
Mengenai tuntutan 40 peratus, Ewon berkata, Pemuda Upko mesti menjadi sebahagian daripada penyelesaiannya.
“Yakinlah sekiranya Upko dapat memberi solusi yang praktikal kepada isu-isu yang tertangguh hampir 60 tahun, rakyat Sabah akan menghargai dan mengingatinya selama-lamanya,” katanya.