Sabah harapkan “kelibat Anwar” bereskan tuntutan MA63 tahun 2024

KOTA KINABALU: Tinggal beberapa minggu lagi, rakyat Sabah akan melangkah ke tahun baharu 2024 dengan penuh harapan agar tuntutan MA63 dapat direalisasikan, khususnya isu membabitkan pemberian khas 40 peratus hasil negeri Sabah yang dikutip kerajaan Persekutuan.

Advertisements

Jika kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penampang Khamis lepas diambil sebagai indikasi, Sabah bakal mencipta sejarah tersendiri pada tahun hadapan apabila formula penyelesaian isu pemberian khas 40 peratus itu dapat dimuktamadkan.

Antara lain, Anwar menegaskan bahawa selain memberi peruntukan besar RM16.21 bilion ternasuk peruntukan pembangunan kepada Sabah, kerajaan Persekutuan juga komited untuk mencari jalan penyelesaian terbaik berkaitan isu pemberian khas tersebut.

Sebelum ini, kerajaan Persekutuan bersetuju memuktamadkan pelaksanaan formula 40 peratus pemberian hasil Sabah menjelang Julai 2024.

Tinjauan Jesselton Times menunjukkan masih terdapat segelintir pemimpin politik Sabah yang masih meragui atau kurang percaya dengan kemampuan Anwar menggotakan janji untuk ‘membereskan’ isu MA63.

Namun, terdapat juga mereka yang memberikan ruang dan kepercayaan kepada Anwar akan melakukan yang terbaik buat Sabah, terutama meluluskan syor dan hasil perbincangan formula pemberian khas 40 peratus oleh Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Hal tersebut dijangka dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan pada Julai 2024 iaitu selepas Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyelesaikan tanggungjawab mereka.

Aktivist sosial Mohd Zaki Harry Susanto turut menzahirkan harapan agar Anwar dapat melaksanakan tuntutan pemberian khas 40 peratus itu selepas formula dan mekanisme pembayaran dimuktamadkan tahun depan.

“Saya lihat Perdana Menteri begitu komited untuk menyelesaikan masalah rakyat, termasuk yang membabitkan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Saya juga percaya formula yang bakal dicadang oleh Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diterima oleh kerajaan Madani pimpinan Anwar,” katanya kepada Jesselton Tines.

Zaki berkata momentum tersebut harus disegerakan oleh kerajaan Persekutuan tetapi berharap rakyat Sabah boleh memberikan masa secukupnya kepada Anwar yang baharu setahun menerajui kerajaan.

“Hal ini telah berlarutan sejak 60 tahun lalu dan pastinya banyak perkara melibatkan peraturan serta teknikal yang perlu ditangani.

“Pun begitu, pendirian kerajaan GRS di Sabah yang kekal untuk tidak menerima sebarang formula baharu harus dipuji. Ia menggambarkan ketegasan kerajaan GRS yang sentiasa mempertahankan aspirasi rakyat Sabah,” katanya.

Apa yang jelas ialah kesemua parti-parti politik di Sabah, termasuk KDM, BN, Warisan, PH, Anak Negeri dan GRS ‘msompuru’ (bersatu padu) menuntut agar kerajaan Persekutuan menghormati Perlembagaan yang jelas memperuntukkan pemberian khas 40 peratus hasil negeri Sabah yang dikutip kerajaan Persekutuan.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles