Ada Akta Anti Lompat Parti tapi masih ada wakil rakyat tukar sokongan kepada parti lain – Mohd Azis

KOTA KINABALU: Akta Anti Lompat Parti sudah pun berkuat kuasa di Malaysia namun masih terdapat tindakan untuk menukar sokongan kepada parti lain.

Advertisements

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata ini yang sebenarnya dimaksudkan oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini ketika perbahasan beliau di Dewan Rakyat.

“Beliau merujuk kepada Akta Anti Lompat Parti yang telah diluluskan secara sebulat suara di Dewan Rakyat dan sudah pun berkuat kuasa malah di Dewan Undangan Negeri Sabah juga sudah diluluskan dan dikuatkuasakan.

“Malangnya tindakan melompat dan melanggar arahan parti masih berlaku malah dianggap kononnya politik matang. Jika lompat dan langgar arahan parti itu dianggap politik matang, buat apa luluskan Akta Lompat Parti? Baik bubarkan saja akta itu dan kembalikan budaya ‘Beli, Tawar, Rasuah’ wakil rakyat jika budaya itu dianggap matang.

“Apa guna Akta itu kalau tabiat sama masih berlaku di Sabah dan di persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengingatkan Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai bahawa rakannya Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Ruslan Muharam sendiri mengaku perkara itu berlaku dan mendesak budaya mencuri ahli parti wajar dihentikan.

“Jika rakan beliau menyatakan budaya mencuri ahli parti wajar dihentikan, bukankah budaya curi Ahli Yang Berhormat sebenarnya jauh lebih teruk walaupun Akta Anti Lompat Parti dikuatkuasakan?

“Kenapa Parti Gagasan Rakyat Sabah harus merampas ahli parti PBS sedangkan PBS adalah sebuah komponen GRS?”

Mohd Azis berkata, Joniston yang juga Ketua Penerangan PBS harus bertanya kepada pucuk kepimpinan Gagasan Rakyat kenapa perkara itu berlaku.

“Tanyalah Parti Gagasan Rakyat Sabah. Bukan pula cuba untuk mengalihkan perhatian rakyat dengan menuduh Datuk Shafie dan mengungkit perkara lama,” katanya.

“Jika pemimpin seperti Joniston ingin mengungkit sejarah, tidak akan ada pengakhiran kepada masalah lompat dan khianat parti.

“Kenapa hanya rujuk kepada peristiwa 2018? Bagaimana pula peristiwa-peristiwa ketika UMNO merampas wakil rakyat PBS dahulu atau kenapa tidak ungkit peristiwa tahun 2020 ketika Musa dan Hajiji membuat gerakan merampas wakil rakyat Warisan dan Pakatan Harapan (PH) Sabah,” katanya.

Mohd Azis berkata benarlah yang apa telah berlaku itu sudah menjadi sejarah dan keadaan yang berlaku pada 2018 dan tahun 2020 adalah ketika Akta Anti Lompat Parti masih belum diwujudkan.

“Namun pun begitu, suka aaya ingatkan Datuk Joniston bahawa pada 2018 ketika Akta berkenaan belum dilaksanakan, Warisan menubuhkan kerajaan negeri bersama Pakatan Harapan dan UPKO.

“Ketika itu Upko bergerak sebagai satu parti atau satu blok untuk bekerjasama dengan Warisan Plus untuk membentuk kerajaan. Bukan seorang dua wakil rakyat sahaja.

“Ada pun wakil rakyat daripada Umno yang keluar parti sebelum Datuk Seri Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada ketika itu, hanya ada dua orang,” katanya.

Beliau berkata tetapi pada masa itu, dengan bilangan wakil rakyat daripada Warisan, PH dan UPKO sudah mencukupi untuk menubuhkan kerajaan.

Katanya wakil rakyat daripada UMNO yang bertindak keluar dan memilih untuk bekerjasama dengan Warisan Plus selepas Warisan Plus membentuk kerajaan tidak pun diberikan jawatan dalam kabinet atau jawatan dalam syarikat
berkaitan kerajaan.

“Hanya seorang sahaja, Datuk Abdul Muis Picho yang dilantik sebagai pembantu menteri berbanding GRS hari ini yang menggunakan kaedah “Scheme of Things” dengan menawarkan pelbagai jawatan termasuk jawatan-jawatan dalam GLC Sabah.

“Akibat Scheme of Things inilah hari ini banyak GLC Sabah mengalami kerugian sebagaimana yang dimaklumkan oleh Menteri Kewangan Sabah sendiri, Datuk Masidi Manjun,” jelas Mohd Azis.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles