KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) seharusnya dijenamakan sebagai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Semenanjung (SPAS) memandangkan ia tidak mencerminkan skop perkhidmatan bekalan air yang sebenar.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, SPAN hanya beroperasi di Semenanjung serta Wilayah Persekutuan dan bukannya di seluruh negara.
“Hakikatnya Sabah mengawal selia bekalan airnya sendiri, begitu juga dengan Wilayah Sarawak.
“Atas sebab itu sebaik-baik nama SPAN ialah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Semenanjung (SPAS),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini, bagi mengulas jawapan bertulis terhadap cadangannya agar Kerajaan menjenamakan semula SPAN kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Semenanjung.
Menurut Madius, dalam jawapan bertulis yang diterimanya memaklumkan bahawa Kerajaan pada ketika ini masih belum mempunyai cadangan untuk membuat penjenamaan semula terhadap SPAN.
“Jawapan yang diberikan juga menyatakan bahawa SPAN masih menjalankan peranan dan fungsinya sebagai badan kawal selia perkhidmatan bekalan air dan pembetungan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Ia sebagai mana yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 654) yang tidak termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.
Walau bagaimanapun, Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu menyeru agar Kerajaan Sabah memikirkan sama ada perlunya mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Sabah.
“Ini bagi membolehkan pengkorporatan Jabatan Air Sabah dan sekali gus membolehkan penyertaan pihak swasta dalam industri bekalan air yang lebih meluas di negeri ini,” katanya.