Sejarah buktikan pemimpin Gagasan Rakyat kemaruk kuasa, Johainizamshah diminta lihat kepada fakta tentang parti beliau sendiri

KOTA KINABALU: UMNO Sabah walaupun menjadi pembangkang tetap mendapat sokongan kuat, buktinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis UMNO menang walaupun berdepan dengan kerajaan pusat dan kerajaan negeri pada waktu itu.

Advertisements

Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kota Kinabalu Mohammad Azmi Amir Hussin berkata begitu juga sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dimana UMNO Sabah berjaya mendapat 14 kerusi berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hanya 11 kerusi.

Katanya Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) tidak pernah pun masuk mana-mana pilihan raya disebabkan 11 orang YB yang menang pada PRN lalu adalah atas nama parti BERSATU, selepas menjadi pembangkang mereka tinggalkan pula BERSATU seperti mana yang mereka lakukan dengan UMNO pada 2018.

“Dan hari ini kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka bertambah bukan melalui pilihan raya tetapi melalui YB yang melompat juga, itu semua demi memperkukuhkan kuasa mereka.

“Belum ada bukti satu kemenangan pun bagi Gagasan Rakyat di dalam pilihan raya. Ini sejarah yang sudah tertulis, membuktikan pemimpin Gagasan Rakyat lah yang kemaruk kuasa,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Lamag Johainizamshah Johari menyifatkan UMNO Sabah masih berlagak ‘big brother’, sokongan semakin terhakis.

Mohammad Azmi berkata UMNO Sabah sudah pernah melalui sebagai pembangkang dengan pemimpin UMNO berprinsip bukan seperti pemimpin di Gagasan Rakyat yang melompat sana lompat sini kerana takut jadi pembangkang!

“Jadi jangan rasa parti kamu hebat jika belum pernah masuk pilihanraya sebagai pembangkang,” tegasnya.

Mohammad Azmi juga menyifatkan tuduhan yang menyatakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin kemaruk kuasa juga tidak benar sama sekali.

Katanya ini kerana umum tahu beliau menyokong penuh Hajiji sebelum ini selaku Ketua Menteri walau pun UMNO lebih kerusi daripada BERSATU pada PRN lalu.

“Namun GRS sudah melintasi “garisan merah” bila mana mereka menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas saja PRU lalu tanpa membawa bincang bersama UMNO Sabah.

“Sedangkan UMNO Sabah sudah membuat pengorbanan yang amat besar apabila tidak bersama dengan keputusan UMNO Pusat untuk tidak berkerjasama dengan BERSATU dengan menggunakan kuasa autonomi yang dimiliki oleh UMNO Sabah untuk berkerjasama dengan BERSATU di Sabah.

“Perlukah lagi UMNO Sabah berdiam diri? Dua tahun ditindas UMNO Sabah tetap bersabar, sewaktu PRN diletakkan calon bebas mesra GRS menentang calon UMNO, begitu juga dengan PRU-15, namun UMNO Sabah masih bersabar walaupun Bung Moktar mendesak Hajiji mengambil tindakan terhadap orang tersebut namun bukannya diambil tindakan malahan diberi jawatan lagi didalam kerajaan negeri, namun UMNO Sabah masih bersabar,” katanya.

Mohammad Azmi juga berkata ketika penubuhan Kerajaan Negeri sebelum ini jawatan Menteri Kerja Raya yang sudah dipersetujui bersama untuk diberi kepada Bung Moktar.

Namun, katanya, mereka (Hajiji) mahu sailang sewaktu mengangkat sumpah jawatan Menteri diberikan kepada Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

“Itu pun UMNO Sabah masih bersabar demi menjaga mandat rakyat. Banyak lagi kisah penindasan terhadap UMNO Sabah selama ini boleh disenaraikan, jadi sampai bila UMNO Sabah kena bersabar dengan penindasan ini,” katanya.

Mengenai dakwaan jawatan utama pengerusi GLC utama juga dibolot oleh UMNO Sabah, Mohammad Azmi meminta Johainizamshah menyenaraikan GLC besar yang mana diberi kepada UMNO Sabah selain Qhazanah Sabah Berhad.

“Ketika ini jawatan-jawatan pengerusi GLC utama Sabah, rata-ratanya dipegang oleh orang-orang Gagasan Rakyat,” katanya.

Mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri pada PRN lepas, berapa banyak kerusi tradisi UMNO Sabah dikorbankan oleh UMNO Sabah demi memberi laluan pada BERSATU pada waktu itu.

” Janganlah bercerita kononnya hikmah selepas PRU-15 baru ‘terbuka hati’ membawa parti lokal, kerana sejarah sudah tertulis pemimpin kamu menyokong Muhyiddin selepas beberapa hari PRU-15 berlalu dan pada waktu itu keahlian pemimpin-pemimpin kamu masih keahlian BERSATU hanya bila mana Muhyiddin tidak cukup sokongan menjadi Perdana Menteri barulah pemimpin kamu membuat “u-turn” menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dan seterusnya menubuhkan parti lokal dengan meninggalkan begitu sahaja BERSATU.

“Jika Muhyiddin berjaya menjadi Perdana Menteri pada waktu itu adakah pemimpin kamu akan tinggalkan BERSATU dan menubuhkan parti lokal. Saya rasa rakyat Sabah bijak untuk menilainya,” katanya.

Mohammad Azmi berkata parti yang berkuasa dan boleh menawarkan bermacam-macam untuk menambah keahlian parti.

Namun, katanya, namun jika Gagasan Rakyat telah bersedia, maka UMNO Sabah menanti pada bila-bila masa untuk pembubaran DUN.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles