Tekun Nasional salur RM8.85 bilion pembiayaan kepada peniaga kecil-kecilan sejak 1998

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sejumlah RM8.85 bilion pembiayaan secara kumulatif TEKUN Nasional sejak 1998 sehingga tahun ini.

Advertisements

Beliau berkata, bagi tahun ini sahaja, sehingga 30 September, sebanyak RM795.9 juta atau 37,963 pembiayaan telah diluluskan berbanding peruntukan yang diterima oleh TEKUN Nasional sebanyak RM430 juta.

“Bagi tahun 2024, peruntukan yang diumumkan di bawah Belanjawan 2024 bagi Skim Pembiayaan TEKUN Nasional sebanyak RM330 juta.

“Saya yakin TEKUN Nasional akan memperuntukkan dana dalaman sabagai tambahan kepada peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan untuk dimanfaatkan oleh usahawan mikro di negara ini,” katanya ketika menyampaikan penggulungan perbahasan Bajet 2024 peringkat dasar, bagi kementeriannya, kelmarin.

Mengenai cadangan supaya Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) disalurkan dalam bentuk geran, Ewon menjelaskan bahawa, KUSKOP dan TEKUN Nasional berpandangan penyaluran pembiayaan secara pinjaman wajar dikekalkan selaras dengan skop kelulusan program oleh Kementerian Kewangan.

“Di samping itu, ia membolehkan dana pusingan daripada wang kutipan bayaran balik dapat digunakan untuk membantu lebih ramai usahawan,” katanya.

Katanya lagi, bagi tahun 2024, sebanyak RM30 juta disediakan di bawah Skim SPUMI yang dijangka akan memanfaatkan seramai 1,600 usahawan India.

Ewon berkata, TEKUN Nasional juga telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM51.5 juta kepada 2,531 usahawan bekas tentera.

“Pada tahun ini TEKUN Nasional telah memperuntukkan dana khas berjumlah RM10 juta untuk disalurkan kepada usahawan daripada kalangan bekas tentera melalui Skim Pembiayaan Bekas Penjawat Keselamatan. Sehingga 30 September lalu, sebanyak 89 permohonan diluluskan dengan nilai pembiayaan berjumlah RM1.69 juta,” katanya.

Mengenai Program TEKUN Mobilepreneur dan Skim Perlindungan Diri kepada peserta program, Ewon berkata, TEKUN Nasional membiayai seramai 7,160 usahawan dengan peruntukan berjumlah RM64 juta sejak 2020 sehingga September 2023.

“Di bawah skim ini, TEKUN Nasional bekerjasama dengan PERKESO bagi menyediakan caruman perlindungan kepada pembiayaan-pembiayaan yang dikeluarkan termasuk pembiayaan TEKUN Mobilepreneur,” katanya.

Bagi menjawab isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Marudu mengenai pembiayaan TEKUN di kawasan Parlimen Kota Marudu, Ewon berkata, seramai 3,263 usahawan mendapat manfaat pembiayaan TEKUN bernilai RM72 juta sejak tahun 2000.

“Bagi tahun 2023 pula, seramai 389 usahawan kawasan Parlimen Kota Marudu menerima kemudahan pembiayaan TEKUN berjumlah RM12.9 juta,” katanya.

Sementara itu, Ewon berkata, agensi-agensi di bawah kementerian itu telah menambahbaik program dan insiatif keusahawanan serta memudah cara permohonan pembiayaan.

Beliau berkata, ini termasuk mengurangkan tempoh kelulusan pembiayaan dan pengeluaran pembiayaan serta mengurangkan keperluan dokumentasi.

“TEKUN Nasional mengurangkan keperluan dokumentasi daripada 17 dokumen kepada 4 dokumen bagi skim pembiayaan TEKUN.

“Tempoh kelulusan pembiayaan juga dikurangkan kepada tujuh hari bekerja berbanding 21 hari bekerja serta urusan penyaluran peruntukan dilaksanakan dalam tempoh tiga hari bekerja,” katanya.

Ewon berkata, SME Bank juga memproses permohonan secara purata dalam tempoh 21 hari bekerja berbanding 30 hari bekerja sebelum ini.

“Bank Rakyat telah mengurangkan tempoh kelulusan pembiayaan mikro daripada 10 hari kepada enam hari bekerja;

“Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah mengurus tempoh pengeluaran pembiayaan dalam tempoh masa 10 hari berbanding 16 hari sebelum ini.

“Pernas juga mengambil inisiatif membangunkan sistem penilaian secara scorecard atas talian bagi membantu mempercepatkan proses pengeluaran dana yang dijangka akan mula digunakan pada bulan Februari 2024,” katanya.

Katanya lagi, agensi KUSKOP yang menawarkan bantuan kewangan seperti pinjaman di bawah AIM dan geran di bawah SME Corp. tidak mengambil kira penilaian CTOS dan CCRIS, bagi sumber peruntukan yang menggunakan dana kerajaan.

Mengenai cadangan supaya had kadar keuntungan bagi pembiayaan tidak melebihi empat peratus kepada usahawan mikro, Ewon berkata, kadar keuntungan yang ditetapkan tertakluk kepada sumber dana yang digunakan di mana skim pembiayaan yang menggunakan dana kerajaan akan menawarkan kadar yang kompetitif.

“Dalam hubungan ini, agensi-agensi di bawah KUSKOP telah menyediakan kadar keuntungan yang tidak melebihi empat peratus melibatkan skim pembiayaan seperti skim-skim pembiayaan di bawah TEKUN Nasional dengan kadar keuntungan kurang daripada empat peratus setahun berdasarkan sumber peruntukan.

“Skim Pembiayaan Perusahaan Sosial oleh SME Bank untuk perusahaan mikro dan kecil yang menawarkan pembiayaan dengan kadar keuntungan sebanyak tiga peratus setahun.

“Skim Pembiayaan Perniagaan Mikro (Mikro Madani) dan Program Pembiayaan Digital PMKS (DFI) oleh SME Corp. menawarkan pembiayaan dengan kadar keuntungan sebanyak dua peratus setahun dan Program Be Your Own Boss (BYOB) oleh Pernas juga menawarkan pembiayaan dengan kadar keuntungan sebanyak 3.75 peratus,” katanya.

Berkenaan cadangan mewajibkan latihan dan bimbingan kepada usahawan yang memohon bantuan pembiayaan, Ewon berkata, terdapat agensi-agensi KUSKOP yang telah mewajibkan penerima program menghadiri kursus latihan dan bimbingan keusahawanan.

“Antaranya TEKUN Nasional, mewajibkan kehadiran penerima pembiayaan menghadiri Seminar Asas Keusahawanan (SAK) bagi meningkatkan pengetahuan dan kefahaman usahawan mengenai strategi dan teknik pemasaran berkesan serta pengurusan kewangan perniagaan yang cekap.

“Di bawah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) oleh SME Corp, pemilik syarikat yang tiada latar belakang pengetahuan kewangan dan perakaunan diwajibkan untuk mengikuti kursus kewangan. Selepas mengikuti kursus tersebut, PMKS layak membuat tuntutan balik kos pembelajaran yang telah dibayar (maksimum RM1,000 geran).

“Usahawan yang telah menerima pembiayaan PERNAS juga diwajibkan menghadiri latihan berkaitan industri dan operasi perniagaan francais bagi tempoh dua hari,” katanya.

Mengenai cadangan penambahan kemudahan mesin ATM Bank Rakyat di Pekan Julau, Ewon berkata, Bank Rakyat telah mengenalpasti lokasi yang berpotensi bagi penempatan tambahan satu lagi mesin ATM Bank Rakyat bersebelahan mesin ATM sedia ada di premis Koperasi Daerah Julau Berhad.

“Pemasangan mesin ATM tersebut dijangka akan dilaksanakan pada Disember ini,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles