Belanjawan 2024 “bajet rakyat”, komprehensif – Peter

KOTA KINABALU: Presiden Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony menyifatkan, belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, sebagai “bajet rakyat” kerana tiada satu pun kumpulan sasar yang terpinggir daripada mendapat manfaatnya.

Advertisements

Katanya, bajet yang bertemakan “Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat” itu juga dilihat sangat tersusun dalam usaha menoktahkan kemiskinan di negara ini, khususnya di Sabah.

“Ia belanjawan komprehensif, yang menyaksikan tiada satu pun kumpulan sasar tertinggal daripada mendapat manfaat.

“Saya juga melihat belanjawan ini sangat ‘cerah’ dalam usaha kerajaan menangani, seterusnya menoktahkan kemiskinan di negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan belanjawan berjumlah RM393.8 bilion, paling tinggi dalam sejarah belanjawan negara.

Perdana Menteri berkata RM303.8 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus manakala RM90 bilion, untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

Sementara itu, Peter juga mengalu-alukan peruntukan pembangunan untuk Sabah berjumlah RM6.6 bilion dalam belanjawan yang diumumkan itu.

“Belanjawan 2024 memperlihatkan tekad Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan agenda dan dasar yang memberi keutamaan kepada rakyat khususnya bagi menjaga kebajikan dan hal ehwal Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menerusi belanjawan itu, peruntukan untuk pembangunan Sabah meningkat kepada RM6.6 bilion berbanding RM6.5 bilion manakala Sarawak meningkat kepada RM5.8 bilion berbanding RM5.6 bilion.

Sementara itu, Peter berkata, KDM akan terus memberikan sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar dalam melaksanakan dasar-dasar serta pembangunan negara ini.

“Pendirian kita sama seperti sebelum ini, KDM akan sokong kepimpinan Anwar kerana kami yakin beliau mampu membawa perubahan dan kebaikan kepada negara ini,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles