Sebarang pindaan Artikel perundangan berkaitan Sabah dan Sarawak perlu rundingan: Madius

KUALA LUMPUR:Terdapat banyak insiden yang melibatkan Kerajaan Persekutuan gagal membuat rundingan (consultation) dengan kerajaan Sabah dan Sarawak, kata Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau

Advertisements

Menurutnya, hampir setiap hak-hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menghendaki pihak kerajaan untuk membuat consultation terhadap kedua-dua kerajaan Wilayah Borneo itu sekiranya ingin melakukan sebarang pindaan.

“Contohnya pindaan terhadap Artikel 122 Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1994 berkaitan kuasa Yang Dipertua Negeri Sabah dan Sarawak dalam melantik Hakim Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan Persekutuan telah meminda Artikel tersebut tanpa membuat rundingan dengan Kerajaan Sabah dan Sarawak. Pada hari ini status pindaan tersebut tergantung,” katanya.

Madius berkata demikian dalam ucapan perbahasan pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.

Menurutnya, beliau telah membuat Usul untuk membincangkan perkara tersebut di persidangan Dewan Rakyat, namun Yang Dipertua Dewan telah memaklumkannya melalui sepucuk surat agar status pindaan itu dirujuk kepada mahkamah.

“Pada Tuaran setiap kesilapan Dewan Yang Mulia ini harus diselesaikan oleh Dewan ini juga dan bukannya dirujuk kepada mahkamah.

“Oleh sebab itu dalam kes pindaan Artikel 122 Perlembagaan Persekutuan, ia hendaklah diperbetulkan oleh pihak yang bertanggungjawab iaitu di Dewan Yang Mulia ini,” jelasnya.

Madius yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut menyatakan kebimbangan bahawa hal yang sama mungkin boleh berlaku terhadap pelaksanaan Rang Undang-undang Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia 1995 (Pindaan) 2023.

Untuk rekod, pindaan RUU tersebut melibatkan tentang wakil Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak dalam Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Apa yang Tuaran khuatir ialah, hal ehwal yang berkaitan dengan consultation tersebut. Tuaran berharap dalam hal pelantikan Ahli Lembaga Pengarah LHDN ini, ia juga tidak akan berkesudahan dengan pertikaian sehingga perlu ke mahkamah.

“Sesungguhnya, rakyat Sabah dan Sarawak mahukan agar apa yang disebut dalam keseluruhan perjanjian MA63, dan setiap dokumen yang terkandung di dalamnya dilaksanakan seperti yang telah dijanjikan,” jelasnya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles