KOTA KINABALU: Jelajah Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bakal dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada 23 Julai ini.
Jelajah itu adalah berfokus kepada matlamat memperkukuh dan meluaskan kesalinghubungan semua ahli wanita bagi ketujuh-tujuh parti komponennya.
Ketuanya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata jelajah tersebut adalah program GRS Pusat dan merupakan program yang diwujudkan bagi menonjolkan kesepaduan parti lokal Sabah.
“Melalui program jelajah ini, kita semua dengan ahli parti komponen dalam GRS, wanita khususnya akan bergerak ke semua enam zon politik seluruh negeri Sabah.
“Kesemua zon ini kita akan kunjungi dan pendekatan kita adalah saling mengenal dengan akar umbi kerana kita ingin identiti GRS sebagai parti lokal itu sendiri dikenali rakyat.
“Identiti Gunung Kinabalu yang menjadi simbol kepada GRS, maka begitulah juga kebanggaan kita terhadap negeri Sabah, negeri yang mana kita harus berjuang untuk mempertahan serta mengekalkan segala kemajuan serta keharmonian untuk orang kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir Mesyuarat Khas Penyelarasan Program Pelancaran Jelajah Wanita GRS, di sini hari ini.
Menurut Azizah, gerakan wanita GRS seluruh negeri mempunyai kekuatan lebih daripada 100 ribu ahli dan bilangan tersebut semakin bertambah dan dijangka akan semakin meningkat semasa program jelajah berlangsung.
“Program jelajah ini kita adakah berterusan sampailah tiba masa Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, yang mana semasa jelajah ini, kita tekankan aspek perpaduan, penyatuan dan kebersamaan.
“Slogan kami adalah Wanita United, Sabah Forward,” katanya.
Dalam pada itu, Azizah juga memberitahu bahawa parti itu turut menerima maklum balas dan respon baik daripada rakyat tempatan Sabah.
“Sekarang pun sebenarnya wanita-wanita kita yang bekerja menjadi tulang belakang, sudah memulakan aktiviti di kawasan masing-masing dan kita lihat rakyat dan akar umbi menerima dan memberi respon positif kepada parti ini yang diterajui oleh Ketua Menteri kita.
“Saya amat yakin, peranan wanita sebagai sayap dalam perjuangan parti adalah besar kerana kita turun padang melihat perkara yang menjadi permasalahan rakyat.
“Semua ini berkaitan dengan kemakmuran, inginkan perubahan, mahu lebih maju dan bergerak ke hadapan serta terlibat dalam semua aspek pembangunan dalam negeri Sabah yang kita cintai ini,” katanya lagi.