Ewon cadang tubuh Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Sabah perlu ditubuhkan.

Advertisements

Beliau berkata, ini penting bagi menyelaras semua program berkaitan pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan pelbagai kementerian.

“Saya telah menyatakan kepada kepimpinan Sabah untuk menubuhkan satu jawatankuasa penyelarasan pembangunan keusahawanan Sabah supaya hal-hal berkaitan perkhidmatan pembangunan dan pembiayaan dapat diselaraskan.

“Di seluruh negara, terdapat sebanyak 66 agensi dan jabatan berkaitan keusahawanan yang terlibat memberikan perkhidmatan kepada usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) diletakkan di pelbagai Kementerian sama ada di peringkat persekutuan ataupun negeri.

“Daripada 66 agensi yang berkaitan keusahawanan, hanya 10 agensi dibawah kementerian saya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Minggu PMKS sempena Minggu Usahawan Negara Zon Sabah, di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Ahad.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Sabah Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Haji Noor.

Ewon berkata, adanya jawatankuasa penyelarasan berkaitan keusahawanan akan memudahkan penyaluran pembiayaan dan pelaksanaan program-program pembangunan tanpa berlaku pertindihan

“Kementerian saya telah menyenaraikan pelbagai inisiatif baharu berkaitan pembangunan usahawan dan PMKS di seluruh negara.

“Antara yang telah kita kemukakan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku Menteri Kewangan ialah memberikan fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak dari segi program pembiayaan baharu,” katanya.

Beliau berkata, bagi tujuan itu sesi libat urus akan diadakan bersama setiap kementerian berkaitan untuk mendengar pandangan mereka termasuk pandangan daripada Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah.

Ewon turut menyarankan semua PMKS berdaftar supaya mendapatkan sijil akuan PMKS dari SME Corp. Malaysia bagi menikmati bantuan bersasar yang diperkenalkan kerajaan.

“Sijil Akuan Status PMKS ini adalah satu perakuan status yang disediakan oleh SME Corp bagi memudahkan PMKS menyertai program atau memohon insentif dan mendapatkan bantuan bersasar.

“Status ini juga adalah bagi memastikan PMKS memenuhi definisi nasional yang
telah ditetapkan oleh kerajaan melalui Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK),” katanya.

Beliau berkata, inisiatif Pendaftaran Status PMKS Malaysia diperkenalkan oleh kementeriannya melalui SME Corp bagi mengesahkan status saiz syarikat/ perniagaan samada perusahaan Mikro, Kecil atau Sederhana.

Mengenai pasaran antarabangsa, Ewon berkata, KUSKOP amat menggalakkan usahawan menerokai pasaran luar bagi mengembangkan lagi perniagaan dan perkhidmatan.

“Berdasarkan statistik, prestasi eksport PMKS meningkat RM124.3 billion pada 2022 berbanding RM117.8 billion pada 2020.

“KUSKOP melalui SME Bank telah memperkenalkan program eksport iaitu Business Export Programme (BEP) yang menyediakan bantuan geran sebanyak RM200,000.

“Manakala Program SMEs Go Global (SMEGG) dan Galakan Eksport Bumiputera (GEB) menyediakan bantuan geran sehingga RM250,000 untuk membantu mengembangkan kapasiti dan keupayaan usahawan bagi tujuan eksport ke pasaran luar.

“Saya berharap lebih ramai usahawan Sabah dibantu untuk bersaing ke peringkat antarabangsa, sekaligus meningkatkan nilai eksport negara dan mempersiapkan para usahawan untuk Unlocking Global Potential,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memberikan sokongan dalam memastikan keupayaan PMKS dapat ditingkatkan ke tahap lebih tinggi, sejajar dengan keperluan semasa, sekali gus melonjakkan Malaysia di mata dunia.

Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian Dan Keusahawanan Sabah Phoong Jin Zhe, Pengerusi SME Corp. Malaysia Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Hj. Zamri Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Nainy dan Setiausaha Tetap
Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Thomas Logijin.

Sementara itu, Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Zon Sabah sempena Minggu Usahawan Negara (MUN) tahun ini mencatatkan jualan lebih RM4.34 juta.

Ewon berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan jualan MUN dan Minggu PMKS tahun ini sebanyak RM82.86 juta.

“Jumlah ini melebihi sasaran jualan dan potensi jualan yang ditetapkan sebanyak RM70 juta di seluruh negara.

“Sambutan MUN dan Minggu PMKS telah diadakan di enam zon termasuk Sabah iaitu di Zon Utara (Pulau Pinang), Zon Selatan (Melaka), Zon Pantai Timur (Pahang), Zon Sarawak dan peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur,”katanya.

Beliau berkata demikian ketiks berucap pada Majlis Penutupan Minggu PMKS sempena Minggu Usahawan Negara Zon Sabah, di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Ahad.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Sabah Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Haji Noor.

Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian Dan Keusahawanan Sabah Phoong Jin Zhe, Pengerusi SME Corp dan Malaysia Tan Sri Bernard Giluk Dompok.

Ewon berkata, selain bertujuan untuk memupuk budaya keusahawanan, penganjuran MUN dan Minggu PMKS juga bertindak sebagai salah satu platform mempromosikan produk dan perkhidmatan PMKS.

“Tahun ini buat pertama kalinya tema “Sokong Lokal, Sokong PMKS” dipilih sebagai tema MUN dan Minggu PMKS. Ini menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan melalui KUSKOP dalam membangunkan usahawan dan koperasi tempatan di Malaysia termasuklah usahawan francais.

“Bagi menarik lebih ramai pengunjung pada tahun ini, lebih banyak aktiviti menarik telah diadakan di seluruh negara melibatkan pelbagai Kementerian, Agensi, Kerajaan Negeri, serta rakan-rakan strategik,” katanya.

Katanya lagi, selaras dengan matlamat Dasar Keusahawanan Negara (DKN2030) kerajaan serius melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi mencapai matlamat itu.

“KUSKOP selaku urusetia Majlis Pembangunan Usahawan PMKS Kebangsaan (MPUPK) sentiasa komited memastikan koordinasi dan penyelarasan antara Kementerian dan Agensi-agensi berkaitan dapat digembelingkan dengan lebih berkesan agar tiada pertindihan dalam membantu membangunkan usahawan.

“Bagi memastikan kita sentiasa mengamalkan kaedah semak dan seimbang, kita harus bijak membahagikan tugas. Contohnya, terdapat agensi yang memiliki punca kuasa undang-undang (akta) yang membolehkan mereka melaksanakan penguatkuasaan.

“Manakala agensi-agensi lain pula melaksanakan program-program pembangunan usahawan. Kerjasama sebegini amat penting bagi memastikan pembangunan ekosistem keusahawanan yang kukuh di Malaysia,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles