SANDAKAN: Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memberitahu sebanyak 4,690 keluarga telah ditawarkan skim sewa beli atau skim Skim Rent-To-Own (RTO) Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara.
Nga menjelaskan Skim RTO PPR telah diperkenalkan pada tahun 2017 dan merupakan skim pembiayaan mudah khusus bagi membantu pemilikan rumah golongan berpendapatan rendah B40 yang telah ditawarkan unit PPR tapi gagal mendapatkan pembiayaan daripada mana-mana institusi kewangan.
“Skim RTO PPR telah dilaksanakan di empat belas PPR di seluruh negara yang melibatkan 6,166 unit rumah. Sehingga 31 Januari 2023, sebanyak 4,690 keluarga telah ditawarkan skim RTO PPR,” katanya semasa menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Haji Nasir di Dewan Rakyat.
Suhaimi sebelum itu bertanya kepada Menteri agar menyatakan adakah kerajaan mempunyai perancangan memberi tawaran skim sewa untuk beli dalam usaha memberi pemilikan rumah PPR kepada penyewa asal.
Nga berkata kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa menitik beratkan aspek pemilikan rumah oleh rakyat yang terkesan terutamanya golongan B40 dan M40.
“Ini termasuklah menawarkan skim sewa beli atau skim RTO. Sehubungan itu, KPKT telah memperkenalkan dua program perumahan sewa beli atau RTO iaitu PPR dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA),” katanya.
Manakala, beliau berkata skim RTO PR1MA diperkenalkan bagi meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan pertengahan M40.
“Melalui skim ini, bakal pembeli yang menghadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman melalui institusi kewangan mempunyai pilihan untuk menyewa selama 5 tahun pertama dengan kadar sewa yang berpatutan sebelum membeli rumah tersebut dengan pembiayaan penuh.
“Skim RTO PRIMA ini juga dibuka kepada semua bakal pembeli rumah PR1MA bagi projek yang terpilih iaitu yang telah siap dibina di seluruh negara,” katanya.
4,690 keluarga ditawar RTO dibawah PPR
Advertisements