Pihak berwajib diminta selesai segera masalah bekalan elektrik Kampung Luasong

TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah bekalan elektrik yang terputus sejak bulan lalu di Kampung Luasong di sini.

Advertisements

Menurut beliau, masalah itu berpunca daripada kerosakan generator berkuasa diesel yang disediakan oleh pihak Yayasan Sabah, sekaligus membebankan lebih kurang 200 penduduk kampung yang terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa bekalan elektrik.

Generator tersebut merupakan satu-satunya yang membekalkan elektrik ke kampung itu sementara menantikan penyiapan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Luasong yang kini turut mengalami kelewatan.  

Generator itu dikatakan mengalami kerosakan sejak bulan puasa bermula, kata Andi ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Program Kembara Ramadan Parlimen Kalabakan di Masjid Nurul Amal, Kampung Luasong, lebih kurang 94 kilometer dari Bandar Tawau, pada Khamis (20 April).

“Penduduk yang saya temui mengadu mengenai permasalahan ini (ketiadaan bekalan elektrik) yang berlaku sejak bulan puasa (Ramadan) bermula lagi. Saya berharap tindakan segera diambil oleh pihak berwajib bagi menangani permasalahan ini.

“Saya difahamkan ini bukan kali pertama masalah ini berlaku kerana dalam tahun ini sudah beberapa kali penduduk kampung mengalami masalah ketiadaan bekalan elektrik disebabkan kerosakan generator utama tersebut,” kata Andi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu.

Beliau juga berharap agar penyiapan projek BELB Luasong dapat dipercepatkan agar para penduduk tidak lagi perlu bergantung kepada penggunaan generator yang seringkali rosak itu.

Menurutnya, projek BELB Luasong setakat ini baharu siap 73 peratus, berbanding 94 peratus yang sepatutnya seperti dalam jadual.

Katanya, beliau dimaklumkan kelewatan projek tersebut disebabkan oleh bekalan kabel tidak dapat diperolehi mengikut masa diperuntukkan, kelewatan FAT (factory acceptance test) untuk peralatan LBS dan AR dan pihak subkontraktor tidak dapat membekalkan tenaga pekerja/pasukan yang diminta.

“Saya berharap masalah yang dihadapi ini dapat ditangani secepat mungkin agar projek BELB ini dapat disiapkan mengikut jadual demi kesejahteraan penduduk yang amat memerlukan kemudahan ini,” ujar Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan itu.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles