KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mahu lebih banyak koperasi dan Coopmart ditubuhkan di kawasan perumahan, PPR dan apartment negara.
Beliau percaya gerakan koperasi dan penubuhan Coopmart dapat menyediakan perkhidmatan peruncitan khususnya dalam menurunkan harga barangan runcit.
“Kerajaan melihat koperasi mempunyai peranan yang signifikan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
“Malah, gerakan koperasi boleh menguasai sebahagian pasaran pemborongan dan peruncitan terutamanya sistem rantaian nilai bekalan barangan keperluan melalui ekosistemnya yang komprehensif dan bersepadu.
“Melalui rangkaian COOPMart yang kini berjumlah 2581 buah kedai runcit di seluruh negara, anggota koperasi serta masyarakat setempat boleh mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Coopmart Koperasi LA2 Selangor Berhad, di perumahan PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, Selangor, di sini, baru-baru ini.
Ewon berkata, jika kesemua koperasi dalam sektor pemborongan dan peruncitan bergerak secara proaktif dan bersepadu, setiap anggotanya juga akan menerima manfaat dan impaknya sangat besar kepada ekonomi rakyat dan negara.
“Kementerian melalui SKM juga telah menubuhkan Federasi Koperasi Pemborongan dan Peruncitan Malaysia Berhad pada 1 April 2021 dengan hasrat untuk membentuk sinergi gerakan koperasi yang terlibat dalam aktiviti pemborongan dan peruncitan,” katanya.
Beliau berharap inisiatif membangunkan koperasi COOPMart Koperasi LS2 Selangor Berhad dapat diperluaskan pelaksanaannya ke lain-lain PPR yang mempunyai pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti.
“Inisiatif ini wajar diberi perhatian selari dengan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi menggalakkan penglibatan komuniti khususnya dari kelompok B40 melibatkan diri dalam gerakan koperasi berkaitan peruncitan sekali gus mendapatkan penjimatan pada belian produk barangan keperluan asas pada harga berpatutan.,” katanya.