SANDAKAN: Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir berkata UMNO Sabah tidak ada mengeluarkan sebarang kenyataan terbaharu berkaitan isu menyokong semula kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah (Datuk Bung Moktar Radin) juga telah mengeluarkan kenyataan penafian berhubung perkara itu.
“Isu ini timbul selepas ada pihak media membuat laporan berita yang mendakwa UMNO Sabah menyokong GRS semula,” katanya ketika ditanya berhubung isu berkenaan.
Suhaimi menegaskan ekoran laporan berita itu telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli-ahli parti.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran menjelaskan pengamal media perlu memiliki perasaan tanggungjawab dalam melaporkan berita.
“Setiap penulisan seharusnya bertunjangkan fakta, bukannya andaian atau berdasarkan khabar angin, semata-mata mahu menjadikan media terawal menyiarkan sesuatu berita. Sewajarnya pihak media merujuk kenyataan rasmi atau sidang media sebelum mengeluarkan suatu laporan berita,” katanya.
Suhaimi berkata pengamal media bertanggungjawab mendukung prinsip pelaporan berita yang tepat dan beretika sepanjang masa serta berintegriti.
Beliau menegaskan UMNO Sabah amat menghargai peranan dan sumbangan pengamal media yang masih telus, beretika dan berintegriti dalam penyampaian maklumat dan penyaluran berita kepada rakyat.