Kuskop adakan majlis berbuka puasa bersama warga kementerian dan agensinya

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengadakan Majlis Berbuka Puasa bersama warga kementerian dan agensi-agensi di bawah kementerian itu, di sini, hari ini.

Advertisements

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, majlis seumpama ini selari dengan maksud Madani, di mana ianya merupakan usaha membentuk dan membina masyarakat dengan menyemaikan nilai-nilai murni kekeluargaan.

“Hari ini merupakan hari ke sembilan puasa, justeru saya mendoakan agar semua diberikan kesihatan dan kesejahteraan diri untuk menjalani ibadah berpuasa sehingga ke penghujungnya.

“Majlis ini boleh dijadikan sebagai medium untuk merapatkan tali persaudaraan dan mewujudkan semangat “kekeluargaan” dalam kalangan warga KUSKOP dan Agensi.

“Semoga komitmen dan kerjasama yang telah terjalin di antara warga KUSKOP dan Agensi selama ini bukan sahaja dapat diteruskan, malah dapat diperkukuhkan dalam melaksanakan tanggungjawab membantu memperkasa ekosistem keusahawanan dan koperasi di negara ini,” katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Saraswaty Kandasamy, Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Keusahawanan Datuk Haji Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Dan Pemantauan Noor Afifah Abdul Razak, ketua-ketua pegawai eksekutif, pengarah-pengarah urusan agensi Kuskop dan semua warga kerja kementerian.

Ewon berharap dengan adanya kerjasama erat antara warga Kementerian dan Agensinya semua perancangan dan cabaran sepanjang tahun ini dapat ditanganji dengan baik.

“Pelbagai perancangan dan cabaran yang kita akan sama-sama tempuhi sepanjang tahun 2023 ini, dalam usaha kita untuk membantu golongan usahawan dan koperasi.

“Segala perancangan ini hanya dapat dicapai dengan kerjasama erat Kementerian dan Agensi sebagai satu keluarga iaitu “keluarga KUSKOP”,” katanya.

Ewon berkata, bagi menghormati kepelbagaian kaum dan agama beliau memakai baju Melayu.

“Dalam keluarga saya, ada yang menyambut Raya dan Tahun Baharu Cina. Walaupun berbeza anutan agama namun kami menyambut semua perayaan dalam satu ikatan kekeluargaan.

“Sebab itu, melihat majlis ini untuk warga Kementerian maka pada hari ini saya berbaju Melayu sebagai ahli keluarga kementerian kita dan berharap sambutan atau perayaan-perayaan lain juga kita rayakan bersama sebagai warga Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Saya percaya dengan adanya semangat kekeluargaan kita dapat melaksanakan perkhidmatan dan pelayanan terbaik kepada seluruh rakyat negara ini,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles