KOTA KINABALU: Video klip yang memaparkan pengalaman seorang lelaki berbuka puasa di sebuah gereja di Emiriah Arab Bersatu (UAE) wajar dijadikan iktibar terutama dalam konteks toleransi di negara ini.
Menurut laporan Malaysiakini, selepas menonton video tular berdurasi 59 saat itu, bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak merasakan video yang membawa mesej toleransi itu harus dikongsi dengan semua rakyat Malaysia, dengan harapan untuk merapatkan rakyat pelbagai latar.
Bercakap tentang pengalamannya, lelaki itu berkata: “Apa yang saya lihat petang ini ialah orang Islam melangkah ke dunia Kristian dan orang Kristian melangkah ke dunia Islam. Apa yang saya lihat hanyalah senyuman. Apa yang saya lihat hanyalah kebahagiaan.”
“Apabila agama diperkatakan di seluruh dunia, ia seolah-olah memecahbelahkan. Tetapi, saya hanya berada di sebuah gereja yang melayani umat Islam dalam masyarakat, Iftar. Dan apa yang saya lihat hari ini adalah tanda iman seseorang, tentang apa yang diperjuangkan oleh manusia.
“Dan iman seseorang tidak berkurangan hanya kerana mereka bersikap terbuka dan bertolak ansur dengan orang lain. Jika ada, ia dimaksimumkan…,” katanya.
Walaupun, tidak dapat dipastikan bila video itu dirakam, laporan berita dari UAE menyatakan bahawa Gereja St Andrew di Abu Dhabi menganjurkan jamuan Iftar antara umat Islam dan Kristian pada 2019.
Bercakap kepada Malaysiakini, Salleh berkata video itu mengandungi pengajaran tentang toleransi yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia, terutamanya pada ketika ini.
“Sungguh menyayat hati bahawa negara kita sedang dirobek-robek oleh mereka yang berharap untuk mengambil kesempatan daripada perpecahan tanpa mempedulikan kesan daripada tindakan mereka.
“Saya berharap perkongsian video ini dapat memberi impak. Kita semua mesti memainkan peranan kita untuk memelihara warisan berbilang kaum dan agama.
“Kita tidak boleh membiarkan mereka yang berkepentingan mewujudkan perpecahan di kalangan kita untuk matlamat jangka pendek mereka kerana akibatnya adalah jangka panjang. Ingat, bersatu kita teguh, bercerai kita runtuh,” katanya kepada Malaysiakini.
Salleh juga memuji titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bahawa tidak ada sebab untuk menghalang orang Islam daripada melawat tempat ibadat bukan Islam, selagi tidak terlibat dalam upacara keagamaannya.
“Kebawah Duli Yang Maha Mulia memberi pandangan yang tepat apabila baginda menyatakan kepercayaan terhadap akidah umat Islam,” katanya.