RANAU: Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam merasmikan pelancaran Persatuan Penduduk Kampung Sinurai, Ranau (PPKSR) dalam satu majlis diadakan di perkarangan balai raya Kg. Sinurai, di sini, baru-baru ini.
Dr. Joachim mengucapkan syabas dan tahniah kepada pengerusi Persatuan Leester Dalimon kerana dapat membentuk sebuah persatuan mewakili penduduk kampung.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu difahamkan pelbagai aktiviti kebudayaan telah diadakan sejak pagi bersempena dengan pelancaran itu dengan sambutan yang menggalakkan warga kampung.
“Saya memuji semangat waja ditunjukkan penduduk kampung yang begitu teruja dan sambutan mereka kepada penubuhan persatuan ini yang amat memberangsangkan,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran persatuan tersebut.
Katanya, persatuan tersebut amat penting untuk mewujudkan aspirasi dan membina hasil persatuan yang berdaftar. Ia adalah satu platform bagi warga kampung untuk berbincang dan seterusnya menyuarakan cadangan kepada pihak oemimpin kerajaan dalam usaha memajukan kampung.
Beliau berharap agar persatuan ini akan bekerjasama dengan para pemimpin kampung dalam memajukan Kg. Sinurai dan pihaknya akan membantu sebaik mungkin dari sudut permohonan dan peruntukan.
Dr. Joachim juga menyatakan bahawa Kg. Sinurai amat bertuah kerana lokasi strategik yang sesuai untuk pelaksanaan agenda pembangunan.
Sementara itu, Leester dalam ucapannya berkata, tujuan persatuan ini ditubuhkan adalah untuk mengeratkan kesatuan penduduk melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan dan beliau mempelawa semua penduduk kampung untuk menyertai PPKSR.
Selain itu, katanya, persatuan ini diwujudkan sebagai usaha untuk meneroka peluang -peluang pelancongan melalui keunikan budaya etnik Dusun Tinagas.
Leester juga turut menyatakan pendirian bahawa persatuan ini akan sentiasa bergerak seiringan dengan pimpinan kampung dalam mempertahankan hak tanah adat daripada pencerobohan.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Setiausaha Politik kepada Dr. Joachim, Yubidi Gumpoyo serta pemimpin-pemimpin masyarakat.