KOTA KINABALU: Masalah capaian internet luar bandar khususnya di Kawasan Parlimen Beaufort perlu diambil perhatian serius dan diatasi dengan segera, sekali gus memudahkan urusan seharian penduduk di kawasan itu.
Perkara itu disuarakan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Hajah Aminah Aching dalam perjumpaan singkatnya bersama Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamamed Fadzil di bangunan Parlimen pada Jumaat.
“Capaian internet adalah satu keperluan, justeru dengan komitmen dan kerjasama daripada semua pihak, saya yakin pencapaian internet kawasan luar bandar khususnya di Kawasan Parlimen Beaufort mampu ditingkatkan ke tahap yang lebih baik,” katanya ketika di temui selepas perjumpaan tersebut.
Menurut Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort, terdapat beberapa kampung, termasuk Batu 60 Halogilat dan kampung-kampung terpencil masih belum menikmati capaian internet yang memuaskan yang bukan sahaja menjadi masalah kepada penduduk kampung tetapi juga memberikan kesan kepada para pelajar belajar dalam talian dan mencari sumber rujukan.
“Saya berharap Kementerian Komunikasi dan Digital, dapat menyelasaikan isu capaian internet kerana ia menjadi keperluan bukan sahaja memudahkan komunikasi malah melancarkan urusan penduduk sekitar”
“Saya merayu supaya perbanyakkan menara telekomunikasi di kawasan ini. Banyak urusan sekarang memerlukan capaian internet yang baik,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Aminah pihak Menteri Komunkasi dan Digital mengambil maklum dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah itu, terutama di Kawasan Parlimen Beaufort.
Ketika ditanya mengenai Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anawar Ibrahim semalam di Dewan Rakyat, Aminah yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Beaufort menyifatkan belanjawan tersebut sebagai belanjawan “Cakna” kepada keperluan rakyat.
Katanya peruntukan pembangunan yang disediakan untuk Sabah dan Sarawak memerlukan pelaksanaan yang lebih efektif bagi mengelakkan sebarang ketirisan dan sasaranya mencapai matlamat dan jadual yang ditetapkan.
“Jika ini dapat diselaraskan dengan baik dan teratur ianya akan mencapai sasaran yang diharapkan dan rakyat tidak akan menunggu lebih lama untuk melihat sebarang perubahan dari segi pembangunan insfrastruktur dan pembangunan yang lain,” katanya.