Ewon sifatkan Bajet 2023 mesra PMKS

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick menyifatkan belanjawan 2023 sebagai mesra perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang dapat memperkasakan sektor itu.

Advertisements

Beliau berkata, PMKS menyumbangkan kepada 38 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan 48 peratus tenaga kerja rakyat negara ini.

“Belanjawan tersebut memacu agenda MADANI sebagai asas tadbir urus yang turut memperkenalkan reformasi tata kelola termasuk memastikan perolehan secara tender yang telus dan juga agenda bebas rasuah dalam pelaksanaan belanjawan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Belanjawan Membangunan Malaysia Madani 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin.

Ewon turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan menurunkan kadar cukai PMKS daripada 17 peratus kepada 15 peratus yang akan memberi penjimatan kepada 150,000 pembayar cukai PMKS.

“Saya meraikan keprihatinan Perdana Menteri ke atas komuniti penjaja dan peniaga kecil yang menyediakan peruntukan khusus RM50 juta membina baharu gerai-gerai penjaja di seluruh negara dan juga peruntukan khusus RM176 juta bagi kemudahan menaiktaraf premis dan perniagaan di bawah MARA, DBKL, PUNB dan UDA Holdings (agensi Kementerian).

“Saya juga menghargai keprihatinan Perdana Menteri menyediakan pelbagai skim kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan usahawan PMKS dengan keseluruhan dana sebanyak RM1.7 bilion termasuk RM330 juta skim bantuan modal yang disalurkan kepada TEKUN Nasional (agensi Kementerian) termasuk RM10 juta khusus untuk membantu belia daripada keluarga susah meraih pendapatan melalui perniagaan, RM300 juta dikhususkan untuk menyokong perniagaan mikro oleh usahawan wanita dan belia serta RM1 bilion melalui Bank Simpanan Nasional untuk pembiayaan PKS mikro dan penjaja,” katanya.

Selain itu katanya, PMKS terus diperkasakan melalui sokongan aktiviti automasi dan pendigitalan perniagaan dengan dana sebanyak RM100 juta di bawah Skim Geran Pendigitalan PKS dan penjaja kecil untuk geran padanan sebanyak RM5,000 dan dana sebanyak RM1 bilion melalui Bank Negara Malaysia.

Ewon berkata, secara pentadbirannya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi diperuntukan RM732 juta dalam belanjawan tahun ini, iaitu RM520 juta perbelanjaan pembangunan dan RM212 juta perbelanjaan mengurus.

“Ini merekodkan pertambahan RM182 juta berbanding belanjawan tahun lalu, khususnya perbelanjaan pembangunan yang ditambah sebanyak RM165 juta.

“Penambahan perbelanjaan pembangunan Kementerian menunjukkan komitmen besar beliau dalam usaha memulih dan memperkasakan sektor PMKS negara yang dilaksanakan oleh Kementerian ini dan agensi-agensi Kementerian,” katanya.

Beliau berkata, kementerian itu akan terus berkerja keras memastikan peruntukan itu sampai kepada komuniti PMKS mengikut tata kelola MADANI.

“Saya berazam memastikan proses permohonan dan penyaluran skim-skim pembiayaan ini dapat dipermudahkan agar komuniti PMKS dapat menikmati tadbir urus Kementerian dan agensi-agensi Kementerian yang mesra PMKS.

“Untuk ini saya akan meneruskan sesi libat urus dan program temu bersama usahawan-usahawan PMKS bagi menyantuni keperluan, isu dan cadangan mereka dan dalam masa yang sama memperkasakan kerjasama berpasukan di Kementerian agar dapat memberikan perkhidmatan MADANI,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles