KDCA sokong penuh penggunaan tanah NT diperluas, tidak terhad kepada pertanian sahaja

PENAMPANG: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) menyokong penuh kenyataan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan baru-baru yang bersetuju agar syarat-syarat pengunaan tanah yang berstatus “Native Title” (NT) diperluaskan untuk merangkumi aktiviti yang lain seperti perindustrian, pembangunan perumahan dan tidak terhad kepada pertanian sahaja.

Advertisements

Setiausaha Agung KDCA, Datuk Suman Yasambun berkata, kenyataan Dr. Jeffrey terhadap perkara ini adalah bertepatan dan amat dialu-alukan.

“Kerana jika ini direalisasikan, ia akan memberi manfaat terutamanya kepada semua Anak Negeri (native) di Sabah.

“Dengan ini KDCA menyokong penuh kenyataan beliau dan berharap ianya dapat direalisasikan.

“KDCA percaya bahawa Kerajaan boleh mencari kaedah-kaedah yang sesuai untuk memastikan status “Native Title” tidak terjejas dengan perluasan pengunaan tanah tersebut seperti untuk aktiviti komersial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suman berkata, tanah merupakan satu aset yang tidak ternilai harganya bagi Anak Negeri kerana ianya adalah sinonim dengan identiti mereka sebagai orang asal negeri ini.

“Tanah NT juga merupakan satu legasi nenek-moyang orang-orang asal negeri ini yang akan diwarisi dari generasi ke generasi seterusnya.

“Sejak kebelakangan ini banyak tanah NT telah ditukar status kepada “Country Lease” (CL), terutamanya di kawasan bandar. Perkembangan ini amat membimbangkan kerana ini akan mengakibatkan tanah berstatus NT berkurangan dan mengancam pemilikan tanah Anak Negeri.

“Oleh itu, KDCA bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Kerajaan dan memberi bantuan yang perlu ke arah merealisasikan hasrat yang murni ini,” katanya.
 
Dr. Jeffrey dilaporkan dalam satu siaran media 11 Februari sebagai bersetuju agar syarat-syarat pengunaan tanah yang berstatus “Native Title” (N.T) diperluaskan untuk merangkumi aktiviti yang lain seperti perindustrian dan pembangunan perumahan dan tidak terhad kepada pertanian sahaja.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles