KOTA KINABALU: Showcase muzik anjuran Confusius Institute (CI@UMS) dan Program Muzik, Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menjanjikan persembahan yang menarik dan unik.
Acara yang berlangsung bermula pukul 7.00 malam esok merupakan showcase muzik Tahun Baru Cina dan diadakan bertempat di Dewan Resital UMS.
Menurut kenyataan CI@UMS, ia bakal mencipta sejarah seni muzik ASTiF selepas peraturan kawalan pergerakan pandemik COVID-19 dilonggarkan.
“Showcase ini diselaraskan pelajar muzik tahun 3 yang diketuai Elver Jay Alfred dan dibantu Steffy Ester Samuel, di bawah bimbingan Pensyarah program Muzik ASTiF, Grace Lee,.
“Persembahan showcase tahunan ASTiF kali ini berjudul “Chinese New Year Showcase” dan bertujuan mempromosi muzik tradisional bambu yang ada di Sabah.
“Program ini merupakan aktiviti yang sudah dilaksanakan sejak tahun 2018, namun telah terhenti selepas pandemik Covid-19 melanda,” ujar kenyataan tersebut di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu, persembahan dianjurkan sepenuhnya oleh barisan pelajar tahun akhir, tahun 2 dan tahun 1 Program seni Muzik ASTiF di bawah bimbingan pensyarah-pensyarah muzik UMS.
“Program ini dianggap sebagai platform terbaik kepada pelajar muzik bagi menonjolkan bakat dan ilmu yang telah dipelajari seterusnya diaplikasikan atas pentas sebagai sebuah persembahan, disamping meningkatkan pengetahuan serta pengalaman mereka dalam bidang pengurusan sesebuah konsert.
“Showcase kali ini bakal dihangatkan lagi dengan keistimewaan persembahan lagu Jasmine Flowers yang dikendalikan oleh Simon Kong Su Leong, seorang komposer dan pemuzik terkenal kelahiran di Sabah.
“Persembahan kolaborasi ini melibatkan seramai 25 pelajar muzik tahun 2 dan dua pensyarah muzik ASTiF,” jelasnya.
Antara persembahan yang menarik adalah persembahan alat muzik tradisional Sompoton, Bambu Xylophone dan Seruling Cina.
Katanya, instrumen Guzheng turut dipersembahkan oleh seorang pemuzik jemputan terkenal dari Taiwan, iaitu ”Liu Yen”.
“Selain itu, terdapat dua buah lagu instrumental yang akan dipersembahkan oleh ensemble sompoton, tahun 2 pelajar muzik, yang berjudul ”Ikan Kekek” dan ”Five Hundred Miles”.
“Selain itu, terdapat banyak lagi persembahan lain seperti nyanyian lagu, strings ensemble serta ensembel saksofon yang bakal memeriahkan suasana pada malam tersebut.
“Program seumpama ini diharap dapat meningkatkan martabat muzik Sabah ke peringkat yang lebih tinggi dan seterusnya menyuntik inspirasi dan motivasi kepada masyarakat tempatan, khususnya kepada para penggemar muzik dalam kalangan muda yang ingin menceburkan diri ke dalam dunia seni persembahan muzik.,” ujar kenyataan itu lagi.
Orang ramai turut dialu-alukan hadir menyaksikan showcase ini. Sebarang pertanyaan lanjut bolehlah hubungi Encik Elver Jay Alfred: 0198407774 dan Puan Steffy Ester Samuel: 0105674388.