Barisan pemuzik dan penyanyi Malam Galau Tenghilan
Lebih 400 pengunjung meriahkan acara berlangsung
Oleh: JT
TENGHILAN: Penganjuran sulung program Malam Galau Tenghilan anjuran Bayu Serene Villa mencipta suasana meriah apabila berjaya menarik kehadiran 448 pengunjung yang membanjiri lokasi acara pada Sabtu.
Program berkonsepkan hiburan santai itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat yang hadir bersama keluarga dan rakan-rakan untuk menikmati persembahan pentas dalam suasana penuh kemesraan.
Pengerusi Penganjur, Maxolvin Sintore, berkata sambutan luar jangkaan itu membuktikan program hiburan santai mempunyai daya tarikan tersendiri, khususnya dalam menyediakan ruang rekreasi dan hiburan kepada masyarakat di sekitar Tenghilan.
Menurutnya, objektif utama penganjuran bukan sekadar mengetengahkan persembahan hiburan, sebaliknya mahu mewujudkan suasana santai yang membolehkan masyarakat berkumpul, berhibur dan meluangkan masa berkualiti bersama insan tersayang.
Beliau berkata, pemilihan Bayu Serene Villa sebagai lokasi penganjuran juga bertujuan memperkenalkan kemudahan penginapan berkonsepkan inap desa atau homestay yang terletak berhampiran kawasan pekan Tenghilan.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai gerai jualan makanan dan minuman yang memberikan lebih banyak pilihan kepada pengunjung sepanjang acara berlangsung.
Antara tarikan utama malam tersebut ialah penampilan Naib Juara Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran 2025, Keyrolina Roger, yang turut mengambil bahagian menjayakan program berkenaan.
Tidak ketinggalan, tiga penyanyi kelahiran Tenghilan turut memeriahkan pentas Malam Galau, iaitu Clementino Cladius (Tino), Mitheldha Lisnie Laurence (Bep) dan Aiman Danieal (Aiman).
Penglibatan ketiga-tiga penyanyi tempatan itu menyerikan lagi persembahan malam berkenaan, selain menjadi platform untuk mengetengahkan bakat seni suara anak kelahiran Tenghilan kepada masyarakat setempat.
Menariknya, persembahan muzik secara langsung sepanjang program berkenaan turut dijayakan oleh barisan pemuzik yang kebanyakannya merupakan anak tempatan Tenghilan, dengan bantuan dua pemuzik dari daerah Manggatal.
Barisan pemuzik tersebut terdiri daripada Mah Chung Fui selaku pemain dram, Chrysostom Misi (gitar bes), Ateng (keyboard dan gitar akustik), Wandy Gimpah (keyboard), Damasus Madin (gitar utama) serta Diego Amaldo Jerry (gitar kedua).
Gabungan penyanyi dan pemuzik berkenaan bukan sahaja menghidupkan suasana persembahan menerusi iringan muzik secara langsung, malah memperlihatkan bakat serta kemampuan penggiat seni tempatan dalam menjayakan program hiburan berskala komuniti.
Penglibatan sebahagian besar anak tempatan Tenghilan dalam persembahan itu turut memberikan nilai tambah kepada penganjuran, sekali gus membuka ruang kepada bakat setempat untuk terus mengetengahkan kebolehan masing-masing dalam bidang muzik dan persembahan pentas.
Bertemakan Malam Galau, acara tersebut mengangkat nuansa lagu-lagu cinta, kerinduan dan kenangan sebagai elemen hiburan yang dekat dengan jiwa pelbagai lapisan masyarakat.
Penganjuran julung kali itu sekali gus memperlihatkan potensi Tenghilan sebagai lokasi penganjuran aktiviti hiburan komuniti, selain membantu memperkenalkan produk pelancongan dan penginapan tempatan kepada masyarakat.
Dengan sambutan lebih 400 pengunjung pada edisi pertamanya, Malam Galau Tenghilan memberikan permulaan positif kepada usaha mempelbagaikan aktiviti sosial, hiburan dan rekreasi di kawasan berkenaan.
