KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang yang baharu Datuk Ewon Benedick mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat hari ini.
Majlis angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian menang di kerusi Parlimen dengan undi 29,066 dan majoriti 14,410 undi.
Pada majlis angkat sumpah itu, seramai 222 Ahli Dewan Rakyat mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai majlis berkenaan.
Ia kemudian diikuti oleh dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ahli Parlimen Petrajaya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Kemudiannya, Ahli Parlimen Seremban yang juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke diikuti Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah).
Giliran majlis angkat sumpah itu dimulakan oleh Ahli-Ahli Parlimen kerajaan, didahului barisan menteri dan timbalan menteri diikuti Ahli Parlimen dari blok pembangkang.
Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan esok.
Ini adalah Persidangan Dewan Rakyat pertama di bawah Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri ke-10 (PM10) Anwar Ibrahim yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu.
Mesyuarat kali ini akan membabitkan beberapa keputusan penting iaitu pemilihan Speaker dan dua timbalannya, angkat sumpah wakil rakyat, usul undi percaya bagi keabsahan PM10 dan pembentangan peruntukan khas atau mini bajet bagi tujuan membayar emolumen penjawat awam bagi Januari.