Oleh: Slandy Anak Anis (Pelajar Komunikasi FSSK)
KOTA KINABALU: Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kali ke-24 Sidang 1 telah menyaksikan kegembiraan seorang graduan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan menerima Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Sains, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP).
Dr. Fetty Shamy Lin Yahya menamatkan pengajian bersama 377 graduan yang lain pada majlis yang berlangsung di Dewan Canselor UMS, 10 Disember.
Ibu kepada tiga orang anak ini telah memulakan pengajian dalam program Doktor Falsafah Pendidikan Sains pada tahun 2017 dan menjalankan pengajian selama tiga tahun setengah di UMS.
Fetty yang kini berkhidmat sebagai seorang pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Cawangan Sabah dalam bidang kepimpinan pendidikan mengalami kecederaan parah yang mendalam pada mata sebelah kanannya.
“Saya telah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Tuaran yang dipandu saya sendiri pada tahun 2015. Keadaan mata saya semakin memburuk dan terpaksa menerima rawatan.
“Doktor menyarankan saya menggunakan kanta mata untuk membantu penglihatan,” katanya.
Tambah beliau, berdepan dengan peralihan kaedah pembelajaran daripada fizikal ke secara dalam talian merupakan kekangan yang dihadapi ketika pandemik Covid-19.
“Sebagai seorang yang mengambil PhD dalam bidang penyelidikan adalah menjadi kekangan untuk mendapatkan data dan maklumat di tempat kajian.
“Kekangan itu telah menyebabkan saya mengambil masa yang panjang berbanding dengan masa yang ditetapkan untuk meneruskan pengajian.
“Meneroka ilmu baru yang mungkin belum pernah lagi orang terokai merupakan cabaran yang saya lalui sepanjang pengajian. Perjalanan sepanjang pengajian sampai berjaya ke peringkat ini pasti ada duka, suka dan liku-likunya.
“Namun berkat doa ibu bapa, guru-guru, pensyarah, rakan sejawat dan rakan sekelas, akhirnya kami semua berjaya berada di sini,” ujarnya.
Fetty berkata seorang pelajar harus kreatif dan mendapatkan banyak sokongan daripada sekitarnya untuk mendapatkan maklumat dan apa yang diperlukan dalam pengajian.