Oleh: Nur Faezah Binti Roslan (Pelajar Komunikasi FSSK)
KOTA KINABALU: Perasaan sedih dan bangga hanya mampu dilafazkan oleh seorang isteri yang hadir mewakili arwah suami bagi menerima anugerah ijazah sarjana secara anumerta di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-24.
Shahidah Hj. Unding, 45, isteri dan ibu, Kalsum Abdullah Liew Lee Yun, 69, mewakili allahyarham Azizan Mohd Maruf yang meninggal dunia kerana menghidap penyakit talasemia pada 25 Januari 2022.
Allahyarham Azizan merupakan bekas penuntut program Keselamatan dan Kualiti Makanan di Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) menghembuskan nafas terakhir di di Hospital Queen Elizebeth, Kota Kinabalu.
Bercerita mengenai punca awal sakit suaminya, Shahidah menyatakan bahawa semenjak arwah suaminya bekerja dan menyambung pelajaran di peringkat sarjana, beliau mengalami stres yang tinggi.
Allahyarham yang bertugas sebagai pegawai penyelidik dalam Sains Pemakanan mula mendapat simptom dan didiagnos menghidapi penyakit tersebut selepas ditugaskan berpindah ke makmal semasa tempoh pengajian sarjananya.
“Doktor mengesahkan arwah suami menghidap anaemia (kekurangan sel darah merah) dan tidak sesuai dengan aktiviti makmal yang terdedah dengan persekitaran kimia.
“Walaupun menderita sakit, arwah masih bersemangat untuk belajar dan sering berjaga malam untuk menyiapkan tugasan.
“Arwah terlalu istimewa di mata saya. Dialah teman, imam malahan sebagai rakan sekerja, pegawai penyelidik yang baik dan berdedikasi kepada staf, tiada sifat negatif yang saya lihat padanya.
“Arwah suami merupakan seorang pekerja yang berkerja keras dan sanggup menyambung pengajian ijazah sarjana sambil bekerja walaupun sudah berkeluarga.
“Bagi saya, tidak ramai orang yang mempunyai semangat kuat seperti arwah,” ujarnya dalam nada sebak.
Katanya lagi, usia perkahwinan yang mencecah 16 tahun dan dikurniakan seorang cahaya mata berusia 8 tahun menjadi penguat semangat bagi Shahidah meneruskan kehidupan dan memberikan yang terbaik untuk kehidupan anaknya.
“Kehilangan arwah suami memberikan saya perasaan yang luar biasa seperti tidak bermakna untuk hidup tetapi harus diteruskan untuk melaksanakan tanggungjawab menjadi ibu yang terbaik kepada anak,” tambahnya yang bekerja sebagai seorang penjawat awam.
Sebagai rekod, penganugerahan anumerta merupakan penghargaan kepada graduan yang meninggal dunia dan berjaya menyelesaikan lebih 85 peratus pengajian mereka.