Graduan Kembar Rai Hari Graduasi Bersama

Oleh: Baby Nur Izzah Syahirah

Advertisements

 
KOTA KINABALU – Pasangan kembar mencuri tumpuan apabila bersama-sama meraikan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-24 pada Sidang 2 yang berlangsung di Dewan Canselor UMS, 10 Disember 2022.
Chan Vinzie dan Chan Vinkie, 24, ialah antara kumpulan pertama mengambil program ijazah Sarjana Muda Pemakanan dengan Kepujian yang baharu diperkenalkan di UMS pada tahun 2018.
Kedua-dua kembar itu mencatat keputusan membanggakan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) masing-masing 3.24 dan 3.54.
“Pada awalnya kami berdua merupakan pelajar dari program Sains Makanan dan Pemakanan.
“Tapi bila dapat tahu, sekiranya kami berdua ingin menceburi bidang pemakanan sebagai pakar pemakanan, kursus tersebut tidak dapat merealisasikan impian kami,” ujar Vinzie.
Justeru, Vinkie berkata, pada tahun 2018 mereka mengambil keputusan untuk menukar program baharu ini dengan dorongan daripada Dekan Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Prof. Madya Ts. Dr. Hasmadi Mamat.
“Tidak lupa juga, ibu bapa kami yang memberikan sokongan tidak terhingga meskipun terpaksa bertukar kursus pada pertengahan semester tahun 2018. Mereka juga banyak membantu dari segi kewangan.
“Kami berdua sangat berterima kasih kepada orang sekeliling yang banyak membantu dan memberi motivasi untuk menamatkan pengajian di UMS,” katanya lagi.
Pasangan kembar kelahiran Perak itu sekarang bekerja secara separuh masa sebagai setiausaha di sebuah syarikat di Perak dan berhasrat untuk bekerja dan menggunakan pengetahuan mereka dalam bidang pemakanan suatu hari nanti.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles