Ewon cadang permuafakan menteri dan timbalan menteri Sabah untuk bela hak rakyat

PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mencadangkan satu permuafakatan diantara menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri Sabah untuk membela hak rakyat negeri ini.

Advertisements

Beliau berkata kesepakatan itu penting bagi membantu menjayakan wawasan murni kerajaan Perpaduan terutama berkaitan dengan kepentingan rakyat Sabah.

“Sebab itu, saya akan mencadangkan kepada rakan saya saudara Amirzan (Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) untuk kita buat permuafakatan dan perjumpaan yang konsisten diantara dua orang menteri dengan tujuh orang timbalan menteri.

“Kita akan berbincang bagaimana cara terbaik untuk kita mengangkat hak-hak Sabah dalam pimpinan Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Eco Peak Condominium, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, beliau juga akan bekerjasama dengan menteri dan timbalan-timbalan menteri dari Sabah bukan hanya membawa pembangunan dan kemajuan di negeri ini tetapi lebih penting, menuntut hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia.

“Saya fikir ini yang wajar dan perlu kita laksanakan. Permuafakatan yang konsisten dan membincangkan hak-hak Sabah, seterusnya sama-sama angkat untuk diambil tindakan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), menteri dan kerajaan perpaduan,” katanya.

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pelantikan tujuh timbalan menteri dari Sabah.

“Ini satu jumlah yang tidak pernah ada dalam pimpinan kerajaan sebelum ini. Walaupun secara peribadi saya ingin melihat lebih banyak pelantikan menteri dan timbalan menteri dari Sabah, namun apa yang penting ialah pelantikan telah dibuat dan masanya untuk semua yang dilantik bekerja keras untuk rakyat Sabah.

“Sebab itu saya di sini memulakan tanggungjawab bukan hanya sebagai Menteri tetapi sebagai Ahli Parlimen Penampang untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Semalam tujuh Ahli Parlimen dari Sabah dengan tiga daripadanya mewakili Barisan Nasional (BN) dilantik sebagai timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

Tiga Ahli Parlimen BN Sabah itu ialah Datuk Siti Aminah Aching (UMNO – Beaufort) dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi; Datuk Mohamad Alamin (UMNO – Kimanis) sebagai Timbalan Menteri Luar dan Datuk Arthur Joseph Kurup (PBRS – Pensiangan) sebagai Timbalan Menteri Sains dan Teknologi.

Manakala Pakatan Harapan (PH) Sabah pula diwakili dua Ahli Parlimen, iaitu Chan Foong Hin dari DAP (Kota Kinabalu) dan Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud (PKR), masing-masing dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dan Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Seorang wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, manakala Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal (WARISAN) dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Sementara itu, Ewon mahu lebih banyak rumah mampu milik dan rumah PPRT dibina di kawasan Penampang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, ini kerana masih ramai rakyat di kawasan itu yang memerlukan rumah jenis itu.

“Isu perumahan merupakan salah satu masalah besar yang dihadapi rakyat Sabah… ramai yang memerlukan rumah.

“Oleh itu sebagai Ahli Parlimen dan Menteri, saya mengalu-alukan pembinaan rumah mampu milik yang ditawarkan oleh pemaju,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Eco Peak Residences Condominium, di Kiranau, di sini, hari ini.

Ewon berharap pembinaan 321 unit kondominium itu sedikit sebanyak dapat membantu menangani isu perumahan di Sabah, terutama di Penampang.

“Bagaimanapun saya maklum dan tahu bahawa bukan semua rakyat Penampang mampu membeliya.

“Oleh itu saya mahu menjadikannya sebagai sebahagian daripada agenda sebagai Ahli Parlimen Penampang untuk membela rakyat di kampung-kampung yang memerlukan rumah PPRT.

“Pada masa yang sama, dalam menyokong usaha pemaju membangunkan perumahan seperti ini, saya mahu situasi yang harmoni antara pemaju dan penduduk kampung dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) dari segi pelesenan, kelulusan pelan pembangunan supaya semuanya teratur,” katanya.

Mengenai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon berkata kementerian itu beperanan penting untuk memajukan perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) di negara ini.

“Di Penampang, saya bekerjasama dengan KCCI dan Pejabat Daerah Penampang untuk membangunkan Pelan Pembangunan Keusahawanan Penampang yang merangkumi empat bidang iaitu digital ekonomi, agro tourism, perusahaan sosial dan hal-hal berkaitan penjaja kecil.

“Saya mahu program yang sama juga dipanjangkan di seluruh negara, di daerah-daerah di Sabah dan negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles