Salleh zahir ucapan tahniah pelantikan kabinet kerajaan Perpaduan

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
menzahirkan ucapan tahniah kepada barisan Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang diumumkan pada malam Jumaat.

Beliau berkata barisan kabinet Perpaduan itu penting demi kestabilan dan kemakmuran.

“Saya ucapkan tahniah ke atas pelantikan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Semoga dengan barisan baharu ini ia akan memulihkan ekonomi dan kestabilan politik negara,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Salleh yang juga Adun Usukan turut mengucapkan tahniah atas pelantikan Adun Kadamaian dan anggota Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan anggota Parlimen Papar Armizan Mohamad Ali yang dilantik sebagai menteri JPM yang menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak.

“Saya juga lihat banyak muka-muka baharu dalam kabinet yang bakal menggalas tugas yang berat dengan amanah.

“Sesungguhnya, pembentukan kabinet ini bukanlah mudah lebih-lebih lagi untuk memuaskan hati semua pihak,” katanya.

Salleh berkata banyak perkara perlu di ambil kira terutama soal parti dan hierarki selain kemahiran, wilayah, kaum dan agama sebelum pembentukan kabinet itu.

“Semuanya di ambil kira untuk jadi pertimbangan dalam membuat keputusan. Akhirnya keputusan di buat dan ia merupakan prerogative perdana Menteri,” katanya.

Bagaimanapun, Salkeh berkata kabinet berkenaan bukan kekal selama-lamanya kerana penilaian sudah pastinya akan dibuat dari masa ke masa.

Prestasi setiap kementerian juga harus dipantau untuk memastikan kelancaran pentadbiran, katanya.

“Untuk berkhidmat, orang politik seharusnya sedar. Tanpa jawatan kita masih lagi boleh jalankan tanggungjawab berkhidmat untuk rakyat.

“Bahkan, pembangkang juga main peranan untuk memastikan ketelusan dalam pemerintahan yang demokrasi,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles