STAR Sabah dijangka buat keputusan keluar PN minggu depan

348

KOTA KINABALU: Majlis Tertinggi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) dijangka memutuskan sama ada keluar atau terus kekal bersama gabungan Perikatan Nasional (PN) minggu depan.

Presidennya Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata ketetapan itu perlu dibuat susulan keputusan parti itu menyokong dan menyertai kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya berikutan penyertaan STAR Sabah dalam kerajaan Perpaduan peringkat persekutuan, maka keahlian parti itu dalam PN sudah tidak relevan lagi.

“Pada dasarnya STAR Sabah dan PN sudah berpisah. Bagaimanapun kita adakan mesyuarat parti minggu depan untuk membuat ketetapan secara rasmi,” katanya.

Jeffrey berkata demikian kepada pemberita selepas berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada majlis perasmian Simposium Heart of Borneo Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu hari ini.

Jeffrey menyambut baik penganjuran simposium itu yang menurutnya akan memperkasakan lagi inisiatif pemuliharaan lanskap di kawasan Nadi Kepulauan Borneo.

Mengenai ancaman buaya seperti yang berlaku terhadap seorang kanak-kanak di Lahad Datu baru-baru ini, Jeffrey berkata populasi buaya di Sabah kini semakin membimbangkan.

Oleh itu, katanya sudah tiba masanya semua pihak yang berkepentingan mencari jalan untuk menangani masalah itu.