DUN Sabah luluskan Belanjawan 2023

180

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Belanjawan Sabah 2023 berjumlah RM5.138 bilion, setelah dibahas dan digulung bermula Isnin lepas.
Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya berkata usul Rang Undang-Undang Perbekalan (2023) atau Belanjawan Sabah 2023 itu diluluskan dengan suara terbanyak.
Pada Jumaat lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Menteri Kewangan negeri  membentangkan Belanjawan Sabah 2023 dengan anggaran hasil RM5.268 bilion, menjadikan ia belanjawan lebihan berjumlah RM130.47 juta.
Sementara itu, Hajiji ketika menggulung perbahasan belanjawan itu hari ini berkata kerajaan Sabah menegaskan tidak akan berganjak dengan tuntutan hak 40 peratus daripada hasil bersih kerajaan Persekutuan di Sabah seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
“Saya telah menyuara dan menegaskan pendirian kerajaan negeri ini dalam Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963…saya berharap perkara ini tidak lagi diputarbelitkan kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan kepada rakyat,” katanya.

Hajiji berkata sejak 1969, kerajaan negeri menerima amaun pemberian khas yang statik tanpa sebarang peningkatan iaitu RM26.7 juta setahun dan susulan beberapa perbincangan dengan kerajaan Persekutuan, amaun itu telah berjaya ditingkatkan pada April lepas.
“Saya amat sedar dan tahu bahawa peningkatan pembayaran kepada RM125.6 juta yang telah kita terima pada tahun ini adalah jauh lebih rendah berbanding apa yang sepatutnya diterima kerajaan negeri berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.
“Justeru, saya tekankan peningkatan bayaran itu diterima tanpa prejudis atas dasar ia adalah pengaturan secara interim,” katanya.
Beliau turut menegaskan adalah hak kerajaan negeri untuk bergantung kepada formula asal pemberian itu seperti dinyatakan Perlembagaan Persekutuan, serta mendapatkan sebarang bayaran tunggakan atas ketiadaan semakan semula pemberian khas itu semenjak 1973.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak RM4.2 bilion perbelanjaan pembangunan untuk Sabah diperuntukkan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 untuk tempoh lima tahun rancangan itu antara 2021 hingga 2025.
Hajiji berkata bagi tujuan pembangunan negeri tahun depan, RM788.94 juta diperuntukkan daripada Kumpulan Wang Negeri Sabah, dan kerajaan negeri menggangarkan RM607.67 juta diperuntukkan dalam bentuk pembiayaan pinjaman dan imbuhan balik daripada kerajaan Persekutuan.
“Bagaimanapun agihan peruntukan (pembangunan) sebenar Persekutuan hanya diketahui selepas pembentangan Belanjawan Negara 2023 oleh kerajaan baharu,” katanya.
— BERNAMA