Ewon mahu ketuai jawatankuasa tindakan khas pantau pelaksanaan projek berimpak tinggi Penampang

PENAMPANG: Calon Pakatan Harapan bagi kerusi Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar satu Jawatankuasa Tindakan Khas dan Pemantauan Pelaksanaan Projek-Projek Berimpak Besar Penampang diwujudkan di daerah ini.

Advertisements

Beliau berkata ia adalah antara aspirasinya untuk rakyat Penampang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam usaha memandu penyelesaian terbaik isu-isu besar termasuk masalah banjir yang dihadapi rakyat daerah ini.

Katanya, jawatankuasa tindakan khas itu akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Penampang dan dianggotai pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, pertubuhan rakyat dan pihak berkait projek yang sedang dilaksankan.

“Antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Daerah, juruperunding, kontraktor yang diberi tanggungjawab melaksanakan projek, wakil penduduk kampung, badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran tentang hal-hal sungai dan pertubuhan rakyat yang memperjuangkan hak rakyat mesti duduk dalam jawatankuasa itu.

“Saya percaya, banyak masalah rakyat dapat diselesaikan di peringat daerah sekiranya kita boleh berjumpa secara konsisten.

“Jika ada isu-isu berada di luar kawalan jawatankuasa ini, maka menjadi tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen Penampang untuk mengangkatnya ke Dewan Rakyat ataupun Kabinet Kerajaan,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Harapan Penampang, di Kg.Nosoob, di sini, malam tadi.

Ewon berkata, jawatankuasa tindakan khas itu akan memandu pelaksanaan projek-projek tebatan banjir, saliran air dan parit, lebuhraya dan projek-projek berimpak besar lain agar dilaksana dan dipantau secara berkesan.

“Selain itu ia juga akan memastikan rancangan dan pelaksanaan projek-projek berimpak besar mengambilkira keperluan rakyat yang terkesan, memastikan syarikat pelaksana projek berskala besar seperti Pan Borneo bertanggungjawab membaiki saliran parit atau takungan air yang terhasil akibat kerja-kerja pembinaan jalan raya.

“Jawatankuasa itu juga akan memastikan perkhidmatan dan bantuan pasca banjir atau pembayaran pampasan akibat pengambilan tanah untuk projek-projek awam dilaksanakan dengan telus dan adil.

“Memastikan kekerapan penyelenggaraan parit atau longkang dan mengemukakan syor memperdalam atau membina semula parit-parit lama yang telah dibina berpuluh tahun lepas,” katanya.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian percaya pendekatan itu boleh membantu menyelesaikan isu-isu di Penampang kerana pendekatan yang sama beliau laksanakan di Kadamaian dan berjaya menyelesaikan pelbagai masalah.

“Di Kadamaian, banyak perkara telah saya bangkitkan terus di mesyuarat Kabinet Sabah dan keputusan yang dibuat dilaksanakan dengan cepat dan saya sendiri selaku Wakil Rakyat memantau secara terperinci pelaksanaan setiap keputusan yang telah dibuat. Pendekatan ini saya ingin gunakan untuk Penampang,” katanya.

Selain pengwujudan jawatankuasa tindakan khas, Ewon berpendapat ‘public dashboard’ juga perlu diwujudkan bagi memaklumkan status semasa pelaksanaan sesuatu projek dan penyelesaian masalah-masalah rakyat di Penampang.

“Misalnya dari segi bayaran pampasan, berapa yang sudah dan belum dibayar, begitu juga dengan status projek mitigasi dan projek-projek lain di Penampang, ia perlu dimaklumkan kepada rakyat.

“Sebab itu setiap kali persidangan Dewan Undangan Negeri, saya sentiasa bertanya status tiga projek jalan raya di Kadamaian. Jawapan itu saya kongsi bersama rakyat Kadamaian kerana saya mahu mereka tahu siapa yang bekerja dan tidak bekerja.

“Kalau jawapan pada sidang DUN bulan Mac, status projek masih dalam proses tander dan sehingga bulan Disember pun masih lagi jawapan yang sama, kita tahu siapa yang tidak buat kerja. Bukan wakil rakyat tetapi menteri, kerajaan dan jabatan kerajaan berkenaan yang tidak buat kerja,” katanya.

Ewon berkata, pendekatan yang sama juga akan dilaksanakan di Penampang bagi membolehkan rakyat Penampang tahu prestasi bukan sahaja wakil rakyat Parlimen tetapi lebih penting prestasi kerajaan dan agensi jabatan kerajaan berkaitan.

“Ini tawaran peribadi saya sebagai rakan kamu, Calon Nombor 1 bagi kerusi Parlimen Penampang daripada Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau berkata, banyak cadangan, pandangan dan aduan rakyat diterimanya sepanjang hari ini melalui pertemuan penduduk kampung di kawasan Kepayan, melawat mangsa banjir di Kg.Sugud, Kg.Bukitas dan Kg.Inobong.

“Selain pandangan, rakyat juga mengemukakan pelbagai aduan terutamanya masalah banjir, bantuan kepada mangsa banjir yang tidak adil dan juga pampasan tanah kepada penduduk kampung yang terlibat dalam projek tebatan banjir.

“Sebab itu, saya sentiasa percaya sesi libat urus dan program turun padang bertemu rakyat amat penting kerana melalui pertemuan itu, kita boleh mendengar bukan sahaja keluhan tetapi banyak cadangan dan pandangan mereka yang jauh lebih baik untuk menyelesaikan pelbagai masalah rakyat,” katanya.

Semalam, Ewon turut meluangkan masa melawat beberapa rumah di Kampung Sugud yang terjejas banjir ekoran hujan lebat semalam.

Beliau diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Jannie Lasimbang dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan Penampang.

Dalam lawatan itu Ewon turut menerima aduan dan keluhan penduduk kampung mengenai masalah banjir yang sering berlaku di kampung mereka.

“Penduduk memaklumkan kepada saya, bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir tahun lepas tidak adil kerana banyak yang tercicir dan ada yang tidak terkesan tetapi diberikan bantuan.

“Saya amat bersimpati dengan keadaan yang menimpa mereka. Oleh itu, antara aspirasi saya untuk rakyat Penampang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ialah memastikan perkhidmatan dan bantuan pasca banjir dapat dilaksanakan dengan telus dan adil.

“Saya berharap melalui pengwujudan Jawatankuasa Tindakan Khas dan Pemantauan Pelaksanaan Projek-Projek Berimpak Besar Penampang masalah-masalah utama di sini terutamanya banjir dapat diatasi atau sekurang-kurangnya kesan banjir dapat dikurangkan,” katanya.

Sementara itu seorang penduduk Kampung Sugud yang turut terjejas banjir Jeofrrin Likius berkata, dalam tahun ini sahaja, sudah dua kali berlaku banjir di kampung itu.

“Banjir paling teruk melanda kampung ini pada September tahun lalu. Saya berharap projek tebatan banjir di Sungai Sugud yang sudah dimulakan baru-baru ini dapat menyelesaikan masalah banjir di kampung kami.

“Dari segi bantuan untuk mangsa banjir di sini, wakil rakyat ada juga melawat dan bagi bantuan tetapi satu kali saja pada tahun lalu, selepas itu dia tidak pernah masuk sini sudah,” katanya dan menambah kebanyakan bantuan yang diterima oleh mangsa banjir di Kg.Sugud, daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, pada pilihan raya umum kali ini, mereka inginkan seorang wakil rakyat yang peka dan prihatin terhadap masalah penduduk kampung.

“Kami mahu seorang pemimpin yang bukan sahaja lantang bersuara di Parlimen tetapi juga rajin turun padang bertemu rakyat dan mendengar masalah rakyat,” katanya.

Jeofrrin berkata, tiga jambatan konkrit di kampung itu yang rosak teruk dan dihanyutkan arus deras semasa banjir besar melanda kampung itu tahun lalu belum dibaiki sehingga sekarang.

“Penduduk kampung terpaksa berjalan kaki sebab jambatan berkenaan tidak dapat dilalui kenderaan. Keadaan ini amat menyusahkan terutamanya apabila berlaku kecemasan.

“Satu daripada tiga jambatan konkrit itu adalah laluan utama penduduk Kg. Kaanapan Sugud,” katanya.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles