Bekas MP Penampang sertai UPKO, sokong calon PH Ewon

PUTATAN: Mantan Ahli Parlimen Penampang Paul Nointin hari ini menyertai Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan mengisytiharkan sokongan beliau kepada calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick.

Advertisements

Beliau menyerahkan borang keahlian menyertai UPKO kepada Ewon di rumah kediaman beliau di Putatan bersama-sama dengan 1288 orang yang turut memohon menjadi ahli parti.

Beliau juga mengisytiharkan sokongan kepada calon PH di kerusi Parlimen Putatan Awang Husaini Sahari.

Dalam ucapannya, Paul menyatakan pemilihan Ewon sebagai Presiden baharu UPKO telah membuka minat banyak orang dan percaya parti ini akan terus berkembang di bawah teraju kepimpinan baharu.

“UPKO mempunyai masa depan yang cerah dengan Ewon menjadi Presiden parti. Saya percaya beliau mempunyai kepimpinan dan halatuju yang jelas untuk parti ini dan untuk rakyat. Sebab itu saya memilih menyertai UPKO dan menjadi Ketua Penaja di Bahagian Putatan,” katanya.

Sementara itu, Ewon dalam ucapannya mengalu-alukan kemasukan Paul ke dalam parti UPKO bersama-sama dengan ahli-ahli baharu yang lain dan beliau turut berharap mantan pemimpin dan ahli parti sebelum ini balik semula ke pangkuan parti.

“Dalam mengalu-alukan Paul dan para penyokong ke dalam UPKO, saya turut menjemput bekas pemimpin dan ahli UPKO balik semula ke pangkuan parti. Saya juga menjemput rakan-rakan yang belum mempunyai parti untuk bersama-sama di dalam parti ini.

“Saya sentiasa bersedia untuk bekerjasama, berkhidmat dan sama-sama memimpin Sabah melalui parti ini dan Pakatan Harapan. Saya berbangga kerana akan dapat bekerjasama dengan mantan Ahli Parlimen Penampang dalam meneruskan agenda membentuk Kerajaan Persekutuan oleh Pakatan Harapan yang menjadikan agenda tolak rasuah dan tolak salah guna kuasa sebagai asas penubuhan kerajaan.

“Saya juga berbangga kerana dapat bekerjasama dengan para pemimpin di Putatan dan Penampang serta pemimpin Sabah yang lain dalam menuntut hak Sabah melalui Pakatan Harapan.

“PH Sabah telah meletakkan penanda aras bahawa ketegasan kita menuntut hak Sabah tidak akan kurang daripada ketegasan kita menuntut hak Sabah di mahkamah di mana kesemua Wakil Rakyat PH Sabah telah memfailkan saman terhadap kerajaan pada 3 Jun 2022 berhubung dengan pemberian 40% hasil persekutuan di Sabah. Tuntutan ini juga telah dimasukkan di dalam manifesto atau tawaran PH kepada rakyat Sabah dalam pilihanraya umum ini,” katanya.

Turut hadir dalam acara tersebut ialah calon PH Putatan Awang Husaini Sahari, Timbalan Presiden UPKO Datuk Donald Mojuntin dan mantan Ahli Parlimen Putatan Datuk Marcus Mojigoh.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles