SANDAKAN: Pihak Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah mengadakan mesyuarat setiap bulan tanpa gagal dan antara perkara yang berbangkit ialah meluluskan permohonan atau pembaharuan lesen.
Pengerusi LPKP Sabah Dato’ Chin Kim Hiung berkata demikian untuk menyangkal dakwaan bahawa pihak beliau tidak pernah bermesyuarat sehingga menyebabkan permohonan lesen tertunggak.
“Mesyuarat Ahli Lembaga kami diadakan setiap bulan dan banyak permohonan atau pembaharuan lesen yang diterima yang memenuhi syarat ditetapkan telah diluluskan,” tambah Chin.
Beliau memberitahu ada juga permohonan yang ditolak kerana dokumen yang dikemukakan pemohon tidak lengkap.
Justeru itu, Chin mengingatkan para pemohon supaya berurusan sendiri dengan LPKP dan bukan melalui pihak ketiga untuk memastikan kelancaran dalam proses meluluskan permohonan tersebut.
“Kadang-kala pegawai kami berdepan dengan permohonan yang tidak lengkap yang dikemukakan melalui pihak ketiga dan terpaksa menghubungi pemohon untuk menghantar semula dokumen mereka, ini menyebabkan tempoh proses menjadi panjang ” kata Chin.
Chin mengulas berhubung isu berkenaan ketika ditemui media di program kebudayaan di SJK (C ) Pui Gin baru-baru ini.