Belum pun SPR umum tarikh penamaan calon, pemerhati politik ramal “Giant lwn Giant” di Penampang

KOTA KINABALU: Kesejukan cuaca di Negeri Dibawah Bayu Sabah sejak seminggu lepas ekoran hujan dan ribut petir yang membawa bersama bencana banjir seakan akan tidak mampu meredakan kehangatan suhu politik negeri ini.

Advertisements

Kehangatan suhu politik tersebut kelihatan semakin dirasai, termasuk soal calon kerusi Parlimen Penampang yang terletak di pinggiran Bandaraya Kota Kinabalu.

Apatah lagi, timbul desas desus bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Bernard Dompok akan membuat kemunculan semula dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dompok dikatakan berkemungkinan akan mencabar penyandang Datuk Darrel Leiking yang juga timbalan presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) di Parlimen Penampang.

Bagaimanapun, pemerhati politik tempatan Mohd Zaki Harry Susanto memberi pandangan berbeza.

Bagi Mohd Zaki, bakal presiden UPKO Datuk Ewon Benedick, yang mana mendiang bapanya berasal dari Penampang, merupakan antara tokoh paling sesuai untuk bertanding kerusi Parlimen Penampang.

“Jika tokoh muda seperti Ewon yang bertanding menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) di Penampang, saya rasa persaingan akan menjadi sengit. Kedua-dua mereka – Ewon dan Darrel masing- masing pernah menjadi menteri di peringkat negeri dan persekutuan.

“Selain itu, jumlah pengundi Kadazandusun dan Cina bagi kerusi campuran Parlimen Penampang hampir sama, jadi saya melihat kedua-dua tokoh ini mempunyai peluang yang seimbang,” katanya kepada Jesselton Times.

Sambil menyifatkan pertembungan “sailang” antara Ewon dan Darrel itu sebagai giant lawan giant, Mohd Zaki berkata kedua-dua tokoh muda itu mempunyai kelebihan tersendiri iaitu menang dalam pilihan raya negeri (PRN) yang lalu, masing-masing di Kadamaian dan Moyog.

Katanya kedua-dua mereka juga lantang bersuara mengenai kepentingan dan hak-hak rakyat Sabah di Dewan Undangan Negeri.

Semasa zaman Warisan, UPKO dan PH plus memegang tampuk kerajaan negeri Sabah, UPKO dan Warisan merupakan sekutu, namun keadaan politik sudah berubah dan dalam PRU15, Warisan tidak lagi mahu “berkawan” dengan UPKO dan PH Sabah serta memilih bergerak solo.

Difahamkan UPKO yang merupakan parti komponen PH akan bertanding di lima kerusi Parlimen dalam PRU15.

Selain Penampang, parti itu dijangka bertanding di Parlimen Tuaran, Beluran, Libaran dan Kimanis.

Sumber parti memberitahu bahawa penyandang kerusi Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau akan mempertahankan kerusi berkenaan manakala ketua pemudanya Felix Joseph Saang akan bertanding di kerusi Parlimen Beluran.

Ketua Bahagian UPKO Libaran Dr Peter Jr Naintin dan Ketua Wanita UPKO Bahagian Kota Kinabalu Rowindy Lawrence pula berkemungkinan akan diletakkan sebagai calon masing-masing di kerusi Libaran dan Kimanis.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga dijangka meletakkan calon bagi merebut kerusi Parlimen Penampang.

Sebelum ini, presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata parti itu berkemungkinan besar akan bertanding di kesemua 25 kerusi Parlimen di Sabah.

Related Articles

253FansLike

Latest Articles